KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) berhasrat bertanding di semua 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusi PN Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sebagai persediaan, perbincangan mengenai pengagihan kerusi antara parti dalam PN merangkumi BERSATU, PAS dan GERAKAN sudah diadakan di peringkat awal.
Katanya, setiap parti menghantar dua wakil dalam 'perbincangan yang berlangsung dalam suasana adik-beradik'.
"Ketiga-tiga parti bersetuju harus ada perbincangan awal dan kumpulan kecil ini akan berbincang terlebih dahulu dari hati ke hati untuk melihat formula pengagihan kerusi yang akan ditandingi pada PRU15.
"Buat masa ini, rangka kasar seperti jumlah kerusi yang ingin ditandingi parti terbabit sudah nampak, namun setiap parti perlu merujuk kepada jawatankuasa parti masing-masing sebelum ia boleh dimuktamadkan," katanya.
Saifuddin yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Pahang berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Tahunan BERSATU peringkat Bahagian Indera Mahkota di Kompleks Dagangan Mahkota di sini, kelmarin.
Mengenai hubungan antara BERSATU dan PAS Pahang susulan hubungan erat parti itu dengan UMNO Pahang sehingga tertubuhnya Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Saifuddin berkata, mereka kekal akrab.
Sebagai persediaan menghadapi PRU-15, Saifuddin yang juga Menteri Luar berkata, keutamaan BERSATU Pahang ketika ini adalah menyahut gesaan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menubuhkan lebih banyak cawangan dan menambah keanggotaan bagi menyiapkan jentera parti. – BERNAMA