Polis Buru 6 Lagi Suspek Ke Bunuh


PASIR PUTEH - Polis Kelantan memburu enam lelaki warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kes bunuh warga asing yang ditemui di jeti pendaratan ikan Tok Bali, di sini.

Keenam-enam mereka ialah Muhammad Zulkpile Udin, 28; Muhamad Nazri Yusoff, 25; Mohamad Farhiman Ismail, 22; Muhamad Mustaqimiey Abdul Jais, 19 dan Mohamad Faris Ismail serta Abdul Kaiyum Awang, masing-masing berusia 17 tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata semua mereka berusia antara 17 tahun hingga 28 tahun dipercayai rakan sekampung.

Katanya, siasatan awal polis mendapati 12 suspek terbabit dalam jenayah itu dengan enam daripadanya sudah ditahan polis.

"Kita memburu lagi enam suspek dengan mengeluarkan gambar mereka sebagai orang yang dikehendaki.

"Kita minta orang ramai yang mengenali atau melihat suspek, menyalurkan maklumat ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, hari ini.

Shafien berkata, siasatan awal mendapati warga asing berusia 30-an itu cuba menceroboh masuk sebuah premis perniagaan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan mangsa mengundang padah apabila dia mati dibelasah sekumpulan lelaki sebelum mayat mangsa dibuang di jeti pendaratan ikan di Tok Bali.

Dalam kejadian 4 November lalu, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dengan kakinya diikat pada tali selain terdapat kesan koyak pada kepala dan beberapa kecederaan lain dipercayai dipukul beramai-ramai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Shafien menyaksikan acara penyerahan tugas di antara Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri yang dinaikkan pangkat Superintendan dengan Ketua Balai Polis Kok Lanas, Asisten Superintendan Ediansha Endal yang dinaikkan pangkat sebagai Deputi Superintendan.

Mohd Azmir akan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Tumpat manakala Ediansha menggantikan Azmir sebagai Ketua Polis Daerah Pasir Puteh.

Sumber: BH Online