"Pulau Pinang Kata Tak Mampu Bayar Tuntutan Air Kedah" - Sanusi


ALOR SETAR - Berdepan secara bersemuka dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, di Istana Negara semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Ser Muhammad Sanusi Md Nor bertanya padanya tentang tuntutan bayaran air mentah kepada negeri Kedah. 

Muhammad Sanusi memberitahu bahawa Kon Yeow berterus-terang padanya menjawab bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mampu membayarnya atas alasan hasil pendapatan Pulau Mutiara yang dikuasai DAP itu tidak banyak. 

"Saya ambil kesempatan pertemuan di Istana Negara malam tadi untuk bertanya kepada YAB Ketua Menteri Pulau Pinang secara berdepan dan berterus terang tentang bayaran air mentah kepada Kedah. 

"Jawapan YAB Ketua Menteri Pulau Pinang kepada saya- Penang tidak mampu membayarnya, hasil kami tidak banyak.", kata Muhammad Sanusi yang dipetik dari laman Facebooknya hari ini.

Menurut MB Kedah itu, tuntutan bayaran air mentah ini adalah untuk negeri dan rakyat Kedah.

Tegasnya tuntutan itu juga merupakan tuntutan hak yang wajar dan munasabah daripada pengorbanan negeri Kedah yang menyimpan kawasan tadahan ratusan ribu hektar. 

"Dari situlah mengalirnya sungai-sungai membekalkan air mentah untuk minuman dan kawasan pertanian makanan untuk Kedah, Pulau Pinang dan Perlis," katanya lagi.

MB Kedah turut menyatakan ketidakpuasan hatinya dengan jawapan Kon Yeow yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu berpendapatan rendah.

"Sukar sekali menghadamkan jawapan beliau kerana semua orang tahu PBA menjana pendapatan dan keuntungan yang banyak daripada industri bekalan air kepada sektor industri, perkapalan dan domestik, daripada air mentah yang berpunca dari Kedah," katanya.

Namun begitu, MB Kedah tidak mengulas lanjut tentang ketidakpuasan hatinya dan tidak menyatakan apa-apa keputusan yang dicapai berhubung pertemuan antara dua Ketua Kerajaan Negeri itu di Istana Negara, semalam. - Kedahnews.com