Spotcheck, Ka Siong Sedih Terkilan Tengok Sistem Perkhidmatan JPJ "Kuno"


PETALING JAYA - Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menyifatkan sistem perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika ini sebagai “kuno”.

Beliau membuat kesimpulan itu selepas mengadakan lawatan kerja mengejut ke JPJ Johor bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai perkhidmatan pihak berkuasa itu.

Katanya, sistem perkhidmatan sedia ada menyebabkan orang ramai masih perlu beratur panjang untuk berurusan dengan JPJ.

“Selepas lawatan kerja mengejut, saya dapat membuat kesimpulan bahawa sistem perkhidmatan kaunter JPJ yang sedia ada terlalu kuno (lebih 10 tahun) dan perlu ada anjakan paradigma ke arah digitalisasi untuk jangka panjang bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisien dan tidak menyusahkan rakyat.

“Secara terus terang, saya sedih dan terkilan apabila melihat orang ramai masih beratur panjang di sekeliling bangunan JPJ Johor. Saya terus menyiasat punca yang menyebabkan ‘queue’ yang panjang,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, ada pelanggan memaklumkan terdapat sesetengah lesen memandu tidak dapat diperbaharui di UTC dan pejabat Pos yang memaksa mereka datang ke JPJ selain transaksi dalam talian MySikap yang sudah selesai, tetapi masih perlu melakukan cetakan di pejabat JPJ.

Wee berkata, hasil lawatan itu juga mendapati daripada empat mesin cetak LMM dibekalkan Percetakan Keselamatan Nasional (PKN), hanya dua sahaja berfungsi di pejabat JPJ Johor.

“Perkara ini amat mengecewakan dan saya terus menghubungi serta mengarahkan PKN segera membaiki atau menghantar mesin cetak LMM. Jangan buang masa orang ramai beratur panjang dan berjemur di bawah matahari yang terik.

“Saya juga tegur warga JPJ Johor agar memantau rapi kesesakan di bangunan JPJ khususnya pada Ahad dan segala kesulitan dihadapi boleh dilaporkan terus kepada saya. Saya beri terus nombor telefon bimbit saya kepada pegawai JPJ Johor. Saya pesan, jangan biarkan orang awam menunggu berjam-jam hanya kerana mahu mendapatkan cetakan LMM,” katanya.

Wee berkata, beliau juga mengarahkan ibu pejabat JPJ supaya serta-merta mengumpulkan maklumat dari semua cawangan JPJ, UTC dan pejabat Pos tentang prestasi terkini cetakan LMM dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) menggunakan mesin cetak dibekalkan PKN.

Katanya, perkara itu penting kerana beliau tidak mahu situasi sama di JPJ Johor berlaku di tempat lain yang akhirnya membazir masa dan rakyat kerana kebanyakan mereka mahu menyelesaikan urusan dengan cepat dan mudah.

Sumber: FMT