Tak Hirau Amaran, MP Jelutong Diarah Keluar Dewan


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen, RSN Rayer (PH-Jelutong), diarahkan keluar Dewan Rakyat selepas mengingkari arahan supaya tidak mengganggu sesi penggulungan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, mengarahkan beliau keluar Dewan Rakyat selama 20 minit kerana enggan duduk dan berhenti mengganggu perbahasan Tengku Zafrul apabila diminta berbuat demikian walaupun amaran sudah diberikan.

Ia berikutan Rayer berulang kali mendesak Tengku Zafrul menjawab kenapa Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) tidak disenarai hitam dan masih dibenarkan ke luar negara walaupun gagal membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Saya sudah cakap tadi, saya minta Bentara iring Jelutong keluar rehat di luar selama 20 minit. Saya minta maaf. Bentara sila iring Jelutong keluar. Terima kasih Jelutong," kata Mohd Rashid.

Bagaimanapun, tindakan Mohd Rashid itu menimbulkan sedikit kekecohan apabila Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) mempertikaikan arahan terbabit dan meminta supaya Timbalan Speaker tidak menggunakan kuasanya.

Malah, beberapa Ahli Parlimen pembangkang turut berdiri mempersoalkan keputusan Mohd Rashid itu.

Terdahulu ketika menjawab celahan Rayer berhubung isu terbabit, Tengku Zafrul berkata, perkara itu diputuskan oleh mahkamah.

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Rayer sekali lagi berdiri dan terus mendesak ketika Zafrul ingin menjawab isu lain.

Sumber: BH Online