"Tidak Malukah Kita Pada Allah Jika MN Runtuh?", Soal Nik Abduh


ALOR SETAR - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menggesa partinya agar tidak membiarkan Muafakat Nasional (MN) hancur, hanya kerana perselisihan politik antara pemimpin.

Katanya, jika PAS sebelum ini sanggup bersekongkol bersama DAP dalam tempoh lebih 7 tahun, tidakkah PAS malu pada Allah SWT, diri sendiri dan rakyat jika parti itu membiarkan pemimpinnya bertelagah sesama sendiri hingga meruntuhkan MN.

"Jika PAS boleh bertahan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) selama lebih 7 tahun demi bersama menentang ketidakadilan kerajaan BN masa itu,

"Tidak malukah kita pada Allah, jika tidak mahu malu pada diri sendiri dan pada rakyat, dengan membiarkan api kepanasan terus mara dan marak sesama pemimpin yang pasti boleh menyebabkan MN runtuh dalam tempoh yang singkat?

"Gembirakah kita untuk kembali menukarkan air mata kasih sayang dan kegembiraan kepada kebencian, dendam dan berburuk sangka sesama umat?”, katanya yang dipetik dari laman Facebooknya.

Nik Abduh dalam lontaran hatinya itu menyatakan rasa sayangnya pada MN dengan menyifatkan kerjasama politik antara PAS dan UMNO itu merupakan sebaik-baik perjanjian politik

Katanya, perjanjian itu telah memadam dendam, amarah dan kebencian, sebaliknya menghadirkan rahmat dan rasa kasih sayang sesama ummah di negara ini.

"Sebaik-baik perjanjian politik yang termeterai sejak berpuluh tahun adalah di Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) yang membentuk Muafakat Nasional (MN). 

"Ia perjanjian yang diberkati Allah 'dengan serta merta' dengan kurniaan hujanan air mata rakyat di seluruh negara. 

"Ia menyatukan dua kumpulan besar umat Islam yang bertelagah sejak puluhan tahun. Ia meruntuh segala marak kemarahan dan dendam, lalu terbina di atasnya rahmat dan kasih sayang sesama umat," tegas anak bekas Mursyidul Am PAS, Al-Marhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.

Khabar angin menyatakan Ahli Parlimen Bachok itu tewas dalam pemilihan PAS baru-baru ini gara-gara pendirian tegasnya yang lebih menjiwai MN berbanding pendirian partinya yang dilihat pro-PN setelah bergelar Kerajaan.

Selepas pertembungan dengan UMNO/BN di PRN Melaka, Mursyidul Am PAS, Ust Hasyim Jasin mengakui kebenaran bahawa akar umbi PAS lebih memilih MN berbanding PN. -Kedahnews.com