TikTok Punca 4 Beranak Ditahan Reman


KUALA LANGAT - Polis menahan empat sekeluarga yang disyaki melakukan ugutan dan khianat terhadap seorang suri rumah di tepi jalan di Kampung Tumbuk Darat, Tanjong Sepat dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata empat yang ditahan itu membabitkan sepasang suami isteri bersama dua anak perempuan mereka, semuanya berusia antara 21 hingga 49 tahun.

Katanya, suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Besar, Kampung Tumbuk Darat pada jam 9 malam, Khamis lalu.

"Mereka ditahan susulan laporan wanita berusia 41 tahun yang mendakwa keretanya ditahan oleh enam individu iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan ketika melalui Jalan Parit A, Kampung Tumbuk Darat pada jam 12 tengah hari, Rabu lalu.

"Mangsa yang ketika itu bersama anak lelakinya berusia lima tahun, memaklumkan kumpulan berkenaan menumbuk keretanya dan seorang daripada suspek cuba memecahkan cermin kereta menggunakan kayu.

"Tindakan kumpulan itu menyebabkan mangsa dan anak lelakinya berasa takut serta terancam, lalu membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham apabila pengadu memuat naik kenyataan di aplikasi media sosial TikTok, antara lain menyatakan 'boikot antivaksin terutama peniaga sate'.

Katanya, mangsa dikatakan pernah ke rumah suspek bagi memujuk ibu mentua seorang daripada suspek mengambil suntikan vaksin tetapi ditolak.

"Suspek dipercayai tidak berpuas hati dan tersinggung dengan status dimuat naik wanita itu sebelum menyerang mangsa bersama ahli keluarga yang lain.

"Wanita berkenaan dan anak lelakinya tidak mengalami kecederaan manakala semua suspek direman empat hari sehingga esok.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, rakaman video kejadian itu tular di media sosial, menunjukkan sekumpulan individu mengepung kereta wanita berkenaan dengan seorang daripadanya dilihat memegang sebatang kayu.

Sumber: BH Online