Tipu Kutip Derma Anak Yatim Dan OKU, 14 Ditahan


GOMBAK - Polis menahan 14 individu setakat ini kerana disyaki terbabit sindiket penipuan kutipan sumbangan secara dalam talian mengguna nama pusat kebajikan anak yatim serta orang kurang upaya (OKU).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata taktik menggunakan nama pusat kebajikan itu bagi meraih simpati orang ramai sekali gus memudahkan proses kutipan sumbangan berkenaan.

"Sindiket menggunakan taktik menghubungi mangsa untuk meminta sumbangan wang dana kebajikan anak yatim, madrasah dan OKU.

"Mangsa yang rasa bersimpati akan memasukkan wang ke dalam akaun bank dipercayai menggunakan keldai akaun," katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, semalam.

Mazlan berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menyediakan skrip perbualan sebelum menghubungi mangsa.

"Mereka akan memperkenalkan diri kononnya daripada pusat kebajikan tertentu untuk minta sumbangan. Sindiket itu juga masih aktif hingga kini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Sehubungan itu, Mazlan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan membuat semakan dengan polis terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi wang.

Mengulas jenayah indeks di Gombak, Mazlan berkata, sebanyak 2,107 kes jenayah direkodkan pada 2020, berbanding 2,429 kes 2019.

"Kita berjaya menurunkan indeks kes jenayah di Gombak untuk tempoh dua tahun berturut-turut.

"Bagi tempoh awal tahun ini sehingga Selasa lalu, sebanyak 1,726 kes jenayah dicatatkan dan kita berharap jumlah kes jenayah di Gombak akan terus berkurangan," katanya.

Sumber: BH Online