Tok Mat Cadangkan Kerajaan Tangani Peningkatan Harga Makanan


KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa menangani segera isu peningkatan harga makanan dengan pemantauannya mesti dilaksanakan dengan lebih agresif.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kapasiti pengeluaran makanan negara juga perlu setanding dengan negara pertanian serantau khususnya di ASEAN.

Katanya, pengeluaran sumber makanan negara masih bergerak pada kadar perlahan disebabkan penggunaan teknologi rendah, cabaran kawalan penyakit, perubahan cuaca dan kerugian lepas-tuai yang tinggi.

"Inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membina ketahanan terhadap faktor cuaca tidak menentu serta perubahan pasaran adalah pelaburan penting bagi memastikan sekuriti makanan negara akan lebih lestari dan terjamin.

"Kita perlu membangunkan semula sektor agro-makanan yang lama dipinggirkan disebabkan penekanan kepada sektor perindustrian mulai tahun 1980-an," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau akui rakyat terus dibebani dengan kenaikan mendadak harga sayur melebihi dua kali ganda, menyusul selepas kenaikan harga ayam dan telur, sekali gus memaparkan kos sara hidup semakin meningkat saban tahun.

"Saya faham fenomena kenaikan harga adalah norma pasaran dan dipengaruhi lebihan permintaan atau penawaran, faktor cuaca serta kos pengangkutan.

"Namun, kenaikan keterlaluan membebankan rakyat, terutama yang terhimpit akibat kehilangan mata pencarian.

"Malaysia nampaknya mula mengalami masalah ketidakjaminan makanan. Isi rumah berpendapatan rendah terdedah kepada kehilangan akses sumber makanan mencukupi dan berkhasiat pada harga berpatutan," katanya.

Situasi ini kata beliau membimbangkan kerana 25 peratus daripada kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kurang berat badan atau tumbesaran terbantut disebabkan tabiat pemakanan kurang sihat.

"Ini akan menjejaskan potensi pembelajaran serta produktiviti tenaga kerja masa depan. Jika dibiarkan, ia akan mengukuhkan kitaran kemiskinan dan ketidaksamaan antara generasi.

"Jangan biarkan apa juga bentuk manipulasi harga pasaran berlaku. Perkasakan sistem maklumat pasaran untuk makanan dan bangunkan kesedaran pengguna untuk memantau harga pasaran," katanya.

Justeru, beliau menyarankan kupon atau baucer makanan diperkenalkan bagi membolehkan akses kepada makanan berkhasiat khususnya bagi keluarga paling terkesan.

Sumber: BH Online