KUALA LUMPUR - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerima banyak permohonan untuk membawa masuk sisa elektrik dan elektronik atau e-waste import ke negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata justeru kerajaan kekal pendirian menerusi dasar menolak sebarang pengimportan e-waste yang dibimbangi menjadikan Malaysia sebagai tong sampah dunia.
"Saya menerima banyak permohonan untuk membawa masuk e-waste import dari negara luar.
"Ingin saya tegaskan dasar kerajaan dan kementerian tidak sesekali membenarkan pengimportan e-waste dari negara luar kerana Malaysia bukan tong sampah dari segi pengumpulan barangan itu.
"Kita ingin tegaskan bahawa kita menguruskan dengan lebih baik e-waste dalam negara kita dan kita berusaha ke arah melestarikan bila mana saya yakin dalam masa 20 atau 30 tahun akan datang banyak bahan elektrik dan elektronik dapat kita uruskan dengan baik termasuk panasolar yang ada tarikh luput.
"Hal ini akan menyumbang kepada peningkatan bahan (e-waste) Insya-Allah ini akan jadi tanggungjawab kementerian untuk uruskan hal ini," katanya ketika berucap di Program Kemuncak Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik 2021 - Jom E-waste Fiesta di Setiawangsa, semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Bahagian Sumber Manusia dan Komunikasi Korporat AEON Co (M) Bhd.
Mengulas mengenai pengimportan e-waste ke negara ini, Wan Abdul Latiff berkata terdapat negara maju yang terbabit dengan aktiviti itu antaranya Amerika Syarikat (AS) dan Australia.
Jelasnya, setiap tahun memang ada cubaan untuk membawa masuk e-waste ke negara ini dan dengan kerjasama baik agensi penguatkuasaan, aktiviti itu dapat dikesan.
Bagaimanapun, beliau juga mengesahkan ada e-waste import yang terlepas masuk ke negara ini.
"Ya, ada sudah masuk sampai ke pelabuhan. Jabatan Kastam akan panggil JAS untuk sama-sama periksa. Lepas itu kita akan arahkan mereka untuk patah balik. Maknanya sebelum masuk ke dalam negara tetapi cuma di pelabuhan.
"Ada juga (e-waste) terlepas. Kita tak dapat kesan tetapi kita ada nampak ia di premis. Kita syak benda itu memang tak berjaya dihalang," katanya.