Ujian Khas Masuk MRSM Mula Bulan Depan - Mahdzir Khalid


ALOR SETAR - Majlis Amanah Rakyat (MARA akan mengadakan Ujian Khas untuk kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi pelajar tingkatan satu dan empat tahun 2022, secara berperingkat mulai bulan depan hingga Januari 2022.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, calon terbabit akan dipanggil menduduki ujian itu secara berperingkat sehingga 30 Januari tahun depan dengan tarikh, masa dan tempat ujian boleh disemak secara dalam talian bermula jam 10 pagi esok, melalui portal rasmi MARA.

Katanya, calon akan menerima peringatan menerusi SMS atau emel yang didaftarkan ketika permohonan dilakukan.

"Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM), Ujian Khas Ulul Albab dan Ujian Teknikal bagi tingkatan satu dan empat itu, bermula 3 Disember ini bagi calon di Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu.

"Bagi calon dari negeri lain akan bermula pada 4 Disember ini," katanya pada sidang media selepas menyerahkan buku bacaan dan topi keledar kepada Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi sekolah di bawah Parlimen Padang Terap, di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap hari ini.

Mahdzir berkata, calon tidak dibenarkan membuat sebarang pertukaran tarikh, masa dan tempat ujian yang ditetapkan.

"Kesemua calon akan menduduki Ujian Khas ini di 61 pusat ujian terpilih di 53 MRSM di seluruh negara dan lapan Institusi Pendidikan Mara (IPMA) lain, di Selangor dan Negeri Sembilan," katanya.

Mahdzir berkata, calon UKKM akan dinilai berdasarkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Keperibadian.

Katanya, MARA menerima sejumlah 57,122 permohonan untuk ke tingkatan satu manakala untuk tingkatan empat pula sebanyak 17,350 permohonan diterima bagi sesi persekolahan tahun depan.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian bersedia menjalin kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKKM) bagi membolehkan lebih ramai masyarakat luar bandar serta pedalaman menerima capaian jalur lebar lebih baik.

"KPLB boleh menyediakan lokasi di mana kita boleh berkolaborasi dengan KKKM untuk membolehkan mereka mengenal pasti (kawasan membina menara telekomunikasi) contohnya di daerah Padang Terap.

"Kita juga ada pusat internet desa yang kini dipanggil Pusat Digital Keluarga Malaysia untuk menampung keperluan masyarakat di luar bandar.

"Pada masa sama kita hendak lihat bagaimana boleh tolong KKKM untuk laksanakan pelan JENDELA bagi merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar," katanya.

Sumber: BH Online