"Zeti Patut Tahu Apa Berlaku.."


PETALING JAYA - MCA mendesak kerajaan membuka fail dan melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Zeti Akhtar Aziz dan suaminya, Tawfiq Ayman berhubung kaitan mereka dengan skandal 1MDB.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Quek Tai Seong berkata, ia susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengatakan sejumlah USD15.4 juta dana berkaitan 1MDB melibatkan syarikat milik Tawfiq telah dipulangkan oleh Singapura kepada kerajaan Malaysia.

Quek dalam kenyataan berkata, skandal 1MDB telah menghantui rakyat Malaysia dan meninggalkan kesan besar kepada landskap politik negara.

“Akibat pelbagai spekulasi mengenai kes itu, 1MDB banyak dipersalahkan sebagai punca kejatuhan kerajaan persekutuan ketika itu yang memerintah selama 61 tahun.

“Justeru, adalah wajar SPRM menjalankan siasatan menyeluruh supaya rakyat dapat mengetahui cerita sebenar dan tuduhan membuta tuli terhadap individu yang tidak bersalah boleh dihentikan,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan MCA Pahang berkata, selaku bekas Gabenor BNM, Zeti harus bertanggungjawab ke atas kes 1MDB kerana dia sepatutnya tahu apa yang berlaku.

“Sudah tiba masanya untuk pasangan suami isteri ini memberi kerjasama memaklumkan kepada pihak berkuasa apa sebenarnya yang berlaku agar siasatan lanjut boleh diteruskan.

“Walaupun sudah beberapa hari sejak media mula-mula melaporkan berita mengenai dakwaan penglibatan pasangan itu, mereka terus berdiam diri sehingga menyebabkan orang ramai membuat andaian sendiri,” katanya.

Quek berkata, semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan proses undang-undang mesti dipatuhi untuk menentukan apakah yang sebenarnya berlaku dalam kes 1MDB.

“Isu yang paling penting ialah supaya pelaku sebenar dapat didedahkan. Mereka seharusnya bertanggungjawab ke atas kesalahan yang telah dilakukan, menerima apa juga sekatan undang-undang yang dijatuhkan kepadanya atau kemukakan kenyataan yang berjaya membuktikan mereka tidak bersalah di mahkamah.

“Kami berharap Zeti dan suaminya akan memberikan penjelasan secepat mungkin supaya siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya.

Sumber: FMT