Calon SPM Maut Nahas Jalanraya


SERI MENANTI - Seorang pelajar yang sedang menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 24, Jalan Kampung Gedang, Terachi dekat sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, Shah Iskandar Nor Haszemi, 17, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, berkata Shah Iskandar yang menunggang motosikal dikatakan merempuh kereta yang membelok ke simpang kanan jalan.

"Siasatan awal mendapati penunggang motosikal jenis Honda RS 150 dalam perjalanan dari sebuah sekolah dekat Tanjung Ipoh di sini, untuk pulang ke rumahnya di Kampung Sawah Liat.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah Kuala Pilah menghala ke arah Seremban membelok ke kanan untuk memasuki simpang Kampung Gedang.

"Penunggang motosikal dikatakan datang dari arah belakang dan melanggar pintu hadapan kanan Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, Shah Iskandar parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk dibedah siasat.

"Pemandu Proton Wira patah kaki kanan, cedera di muka dan dada. Dia turut dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: BH Online