Cucu P. Ramlee Bebas Tuduhan Edar Ganja


SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini, semalam membebaskan tiga lelaki termasuk seorang cucu kepada seniman legenda Allahyarham Tan Sri P Ramlee, daripada pertuduhan mengedar lebih empat kilogram (kg) dadah jenis ganja.

Hakim Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Cucu P Ramlee iaitu Zakaria Nasir Nasir, 30; Mohd Faizul Zulkipli, 37; dan Mohammad Saifuddin Darmawan, 34, didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mereka didakwa secara bersama mengedar ganja seberat 4,678.5 gram di sebuah kediaman di Puchong pada jam 3.50 petang, 15 Januari 2018.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Zakaria Nasir diwakili peguam Latheefa Koya dan Zaid Malek, Mohd Faizul diwakili Rajpal Singh dan Phan Yantong Nur Sarah manakala Mohammad Saifuddin diwakili Dir Kheizwan Ab Halim @ Kamaruddin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail. – BERNAMA