KOTA BHARU - Seorang jururawat kerugian lebih RM170,000 selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai anggota dan pegawai polis.
Mangsa yang berusia 43 tahun membuat laporan pada 23 November lalu selepas sedar diperdaya oleh sindiket berkenaan selepas membuat beberapa transaksi pemindahan wang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, sebelum itu, mangsa dihubungi oleh lelaki yang mendakwa sebagai anggota polis yang memaklumkan identitinya disalah guna oleh pihak yang tidak dikenali.
Katanya, suspek kemudian menghantar satu laporan kepada mangsa menerusi aplikasi WhatsApp dan menyuruh wanita itu melaporkan perkara yang mangsa lakukan setiap hari dari jam 9 pagi hingga 8 malam.
"Susulan itu, mangsa dihubungi oleh seorang wanita yang mendakwa sebagai pegawai polis dan memberitahu bahawa pihak Unit Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) akan menjaga akaun bank milik mangsa.
"Mangsa perlu memasukkan wang ke dalam akaun bank atas nama seorang individu dan pada 20 Oktober, wanita itu membuat pembayaran sebanyak RM25,800.
"Wanita itu turut membuat tujuh lagi bayaran dengan jumlah keseluruhan lebih RM170,000 ke empat akaun berbeza," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata, pada 13 November, mangsa cuba menghubungi suspek, namun gagal dan mengesyaki dirinya ditipu oleh sindiket.
Shafien berkata, susulan itu mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sumber: BH Online