Kerajaan Perlu Sediakan Formula Bayaran Pampasan Hutan Simpan


PETALING JAYA - Satu formula lebih sistematik perlu dirumuskan bagi menentukan nilai sewajarnya untuk kerajaan persekutuan membayar pampasan kepada kerajaan negeri bagi mengekalkan hutan simpannya, kata pencinta alam sekitar.

Minggu lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan negeri akan dibayar pampasan kerana mengekalkan hutan sebagai kawasan tadahan air, selain melindungi kawasan berkenaan daripada aktiviti pembalakan haram.

Bagaimanapun, tiada perincian dikemukakan berhubung bagaimana jumlah pampasan itu akan ditentukan.

Presiden Persatuan Pemeliharaan dan Ekopelancongan (ECOMY) Andrew Sebastian mengalu-alukan usaha kerajaan dalam mengekalkan dan melindungi hutan simpan, namun berpendapat lebih perincian diperlukan.

Katanya kepada FMT, nilai pampasan mungkin boleh diambil kira menerusi “peranan ekologi” sesuatu hutan berkenaan.

“Sekiranya, hutan itu berfungsi sebagai kawasan tadahan air atau menjadi kawasan perlindungan hidupan liar, maka nilainya perlu lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Alam Sekitar Malaysia (MNS) Ahmad Ismail, bersetuju nilai pampasan sepatutnya bergantung kepada kriteria yang ditetapkan.

“Kita perlu mengemukakan pengiraan secara bersasar berdasarkan jenis, fungsi dan peranan hutan terbabit, disusuli dasar, undang-undang dan tindakan,” katanya.

Sebastian dan Ahmad juga bersetuju pendekatan “sama rata” dalam menentukan pampasan adalah tidak praktikal kerana setiap kawasan mempunyai ciri keunikan tersendiri.

“Untuk setiap hektar kawasan dilindungi, negeri berkenaan sepatutnya mendapat pampasan asas. Sekiranya, kawasan berkenaan sebahagian daripada lembangan sungai atau tadahan air, pampasan tambahan patut dibayar,” kata Sebastian.

“Melindungi habitat terutama membabitkan hidupan liar terancam juga perlu dimasukkan dalam syarat untuk melayakkan menerima pampasan tambahan.”

Ahmad berkata: “Kos untuk melindungi hutan adalah tinggi, namun kita perlu bertindak demikian demi manfaat kehidupan sedia ada dan untuk generasi masa depan”.

Sumber: FMT