Melayu 64%, Kembalikan Kerusi Parlimen Alor Setar Kepada UMNO - Mohd Yusof


ALOR SETAR - Demografi Alor Setar yang memiliki populasi 64 peratus pengundi berbangsa Melayu adalah sebab utama Parlimen di ibu negeri Kedah ini harus dikembalikan kepada parti terbesar Melayu Islam, iaitu UMNO.

Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, faktor kedua untuk MCA menyerahkan kembali kerusi Parlimen itu kepada UMNO adalah kerana persediaan parti kaum Tionghua itu yang goyah dan tewas dua kali berturut-turut pada pilihanraya yang lalu.

"Kalau kita letak jugak calon dari MCA juga, (memang) sukar untuk menang, (yang) kedua apabila kerajaan Barisan Nasional kalah dalam PRU-14, wakil daripada MCA hilang terus selama tiga tahun dan timbul (semula) dalam tahun 2021,

"(Sebab) ketiga (pula), saya rasa MCA juga tidak bersedia untuk bertanding (di Alor Setar) kerana mereka tidak mempunyai calon dan kita (UMNO) di Alor Setar ini ada barisan calon yang berwibawa,” kata beliau.

Tambah beliau, tindakan itu perlu dilaksanakan selepas MCA yang mewakili BN sebelum ini telah mengalami kekalahan ‘teruk’ pada PRU-13 dan PRU-14.

Malah katanya, jumlah sokongan pengundi Cina juga dilihat semakin berkurangan terhadap calon daripada parti itu.

Justeru itu, Mohd Yusof menggesa agar pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon dari UMNO bagi mewakili BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Katanya, adalah sangat wajar kerusi Parlimen Alor Setar dikembalikan kepada UMNO yang mewakili bangsa Melayu bagi menjaga kepentingan bangsa bumiputera itu, tanpa mengabaikan kepentingan bangsa lain.

Jelasnya, jika kepimpinan BN terus mengambil keputusan meletakkan calon yang tidak berpotensi untuk menang, pembangunan sosial dan ekonomi bagi pengundi di Parlimen itu dikhuatiri akan terus terbantut.

Mohd Yusof berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusof turut memohon agar MCA berlapang dada dan tidak perlu risau untuk melepaskan kerusi tradisi itu demi kepentingan keluarga besar BN.

Jelasnya lagi, mengambil contoh Dewan Undangan Negeri (DUN )Duyong pada Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka November lalu, keputusan sama bagi menggantikan calon MCA kepada UMNO membawa kepada kemenangan di kerusi berkenaan meskipun berhadapan dengan pertandingan sengit tiga penjuru.

Selain itu di majlis yang sama, UMNO Bahagian Alor Setar juga turut melancarkan "Hala Tuju 15 Tahun UMNO Alor Setar" menerusi Program Sebuah Keluarga Seorang Profesional Seorang Usahawan.

UMNO Bahagian itu juga sebulat suara memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menerajui kepimpinan negara sehingga tamat tempoh penggal ke-14 Parlimen pada 2023. - Kedahnews.com