KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan mengambil jalan mudah dengan membenarkan lebih ramai pekerja asing masuk bekerja di negara ini bagi menampung keperluan dan permintaan di sektor mendesak khususnya industri, pembuatan dan perladangan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata pada masa sama, kementeriannya sudah melaksanakan pelbagai langkah dan kaedah untuk menarik seramai mungkin pekerja tempatan mengisi kekosongan pekerjaan yang sebelum ini dimonopoli pekerja asing.
"Sebagai menteri, saya tidak boleh sesuka hati membawa pekerja asing ketika negara berdepan krisis (pandemik) dan pengangguran pula pada kadar 5.3 peratus. Mungkin kita boleh jadi menteri yang tidak popular (jika terus ambil langkah benarkan pekerja asing masuk).
"Saya mahu jelaskan, sejak awal kita sudah buka peluang kepada pekerja tempatan. Malah, saya sendiri memaksa majikan supaya ambil pekerja tempatan berbanding pekerja asing dengan iklankan peluang pekerjaan dipelbagai platform," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa (pembangunan) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata, buat masa ini, kerajaan menerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 sudah meluluskan secara dasar kemasukan 32,000 pekerja asing bagi memenuhi keperluan hanya di sektor perladangan, selepas pelbagai usaha dibuat untuk menampung kekosongan yang ada.
"Ini peringkat permulaan, dalam seminggu dua ini, kita akan benarkan kemasukan pekerja asing ini hanya untuk sektor perladangan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) baharu. Sekiranya kita berjaya mengikut SOP, maka kita akan teruskan benarkan sektor tertentu dalam masa terdekat.
"Dalam jangka panjang, kita mahu majikan beralih kepada automasi, ini penting. Cabaran masa depan negara bukan pasca COVID-19 tetapi Revolusi Industri 4.0, dimana kita hidup dalam dunia yang kita mungkin tidak dapat bayangi.
"Jadi, contohnya di sektor perladangan, mungkin kerani yang mengutip data dan juruwang, kenapa kita perlu bagi lagi kepada pekerja asing sedangkan ia boleh diberi kepada pekerja tempatan," katanya.
Mengenai isu Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) pekerja asing, beliau berkata, sejumlah 22,000 CLQ akan dibina di negara ini, mengambil kira kapasiti lebih satu juta pekerja asing di negara ini.
"Kita beri peluang majikan bina dan kita akan pantau melalui sistem khas. Contohnya kalau kapasiti CLQ itu 1,000 pekerja sahaja, kita akan lihat penggunaannya kurang dari 1,000 atau lebih.
"Dalam tempoh 10 tahun akan datang, pekerja asing yang tidak berada di CLQ, maka kita boleh letakkan dia mungkin pekerja asing tanpa izin," katanya.
Sumber: BH Online