PENDANG - Warga UMNO Bahagian Pendang diminta tidak leka dengan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Melaka, sebaliknya bekerja lebih keras dan terus memberi keyakinan masyarakat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob berkata, UMNO Bahagian itu tidak wajar memandang remeh ancaman parti lain meskipun mereka dilihat tidak mempunyai jentera atau memiliki akar umbi yang ramai.
"Kita meminta agar semua perwakilan dan ahli UMNO di Pendang ini supaya tidak memandang rendah terhadap parti yang memiliki "tiada akar umbi" atau "kurang ahli".
"Walaupun sekecil mana pun mereka, kita tidak memandang remeh pada mana-mana parti. Kita ambil iktibar dan sentiasa berwaspada terhadap ancaman yang mampu mereka lakukan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pendang di sini, pagi ini.
Sebaliknya, Suraya yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Kedah menggesa keluarga UMNO Bahagian Pendang untuk lebih beristiqamah bekerja keras dan meramaikan lagi ahli parti itu, khususnya dari kalangan golongan muda.
"Kita tidak boleh lagi leka dengan ancaman itu, sebaliknya perlu beristiqamah bekerja keras dan lebih bersedia sebaik mungkin untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU ke15 nanti," tegasnya di hadapan para perwakilan sebentar tadi.
Selain itu, sayap-sayap parti berkenaan, Pergerakan Pemuda dan Puteri Bahagian turut diminta agar mendekati golongan muda dan mendengar suara hati golongan tersebut dengan baik.
"Kita perlu dekati golongan muda ini. Kita perlu pergi kepada mereka, bukan tunggu mereka datang kepada kita.
"Kita perlu dengar suara hati anak-anak muda kita ini. Dengar dan fahami minat mereka. Sertai aktiviti-aktiviti mereka. Kita perlu dengar suara anak-anak muda ini dengan baik.
"Be a good listener to them. Kita bantu mereka sedaya mampu untuk kebaikan masa depan anak bangsa kita," katanya.
Suraya adalah antara tiga pemimpin UMNO yang berjaya mempertahankan kedudukan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di DUN Sungai Tiang, selain Dato' Noorsabrina Mohd Nor di DUN Bandar Baharu dan Dato' Ku Rahman Ku Ismail di DUN Guar Chempedak.
Bagaimana pun, Ku Rahman kemudiannya "melompat" parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), meskipun memenangi kerusi DUN tersebut atas tiket UMNO/BN.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mohd Sanusi Muhammad Nor menobatkan Suraya sebagai "Iron Lady Kedah" atau "Wanita Besi Kedah" atas keupayaan Exco Kerajaan Negeri itu benar-benar kekerja keras sama ada bagi Kerajaan Negeri Kedah atau rakyat di negeri ini.
Suraya yang lebih mesra disapa dengan panggilan "Kak Su" itu cukup dikenali di kalangan masyarakat dan begitu aktif menjaga kebajikan masyarakat Pendang walaupun bukan di musim pilihan raya.
Walaupun beliau merupakan wakil rakyat bagi DUN Sungai Tiang, namun Kak Su sering turun padang termasuk di kawasan DUN Tokai atas kapasiti Ketua UMNO Bahagian Pendang. - Kedahnews.com