ALOR SETAR - Kira-kira 100 bekas pemain ragbi Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) akan berkumpul bagi menjayakan pertandingan ragbi persahabatan yang bakal berlangsung pada 22 Januari ini.
Jurulatih Pasukan Ragbi KSAH, Mohd Nizard Mohd Noor, berkata idea menganjurkan pertandingan itu adalah untuk merapatkan silaturahim di antara alumni KSAH dan pelajar kolej berkenaan.
"Pertandingan ini akan menjadi perlawanan persahabatan pertama, membabitkan bekas pelajar sejak KSAH ditubuhkan pada 1908 iaitu kira-kira 114 tahun lalu.
"Ramai pelajar ketika ini tidak kenal bekas pemain ragbi kolej yang pernah cemerlang dan bermain untuk negara, kerana itu kita mahu mereka dapat kembali melihat wira KSAH suatu ketika dahulu.
"Pada masa sama kita dapat menaikkan semangat pemain pasukan ragbi KSAH yang ada ketika ini," katanya kepada BH di sini, hari ini.
Mohd Nizard berkata, sehingga kini seramai 60 bekas pelajar sudah mendaftar untuk menyertai pertandingan persahabatan yang dijangka berlangsung di Stadium Suka Menanti.
Katanya, pertandingan itu terbuka kepada semua alumni KSAH tanpa mengira had umur dan akan dibahagikan mengikut tahun kelahiran genap dan ganjil.
"Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, juga bekas pemain ragbi KSAH kerana ragbi sangat sinonim dengan KSAH, jadi kami berharap bekas pelajar era 1970-an akan dapat bersama kita nanti.
"Setakat ini bekas pelajar bermula era 1980-an sudah mendaftar untuk menyertai pertandingan ini, setiap pemain nanti akan dibahagi mengikut tahun kelahiran genap dan ganjil supaya ia lebih adil," katanya.
Selain itu, Mohd Nizard berkata, penganjuran pertandingan itu juga diadakan bagi mengutip dana untuk membantu pasukan ragbi kolej selain menaik taraf bangunan kuarters lama di kolej berkenaan untuk dijadikan rumah kelab ragbi KSAH.
"Kita perlukan kira-kira RM40,000 untuk tujuan berkenaan, insya Allah ia akan dikumpulkan secara berperingkat menerusi program yang kita anjurkan," katanya. - BH