Ahli Parlimen Pembangkang Mahu Polis Pula Siasat Azam Baki


ALOR SETAR - Tidak berpuas hati dengan keputusan siasatan Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak menemui kepastian muktamad bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan kesalahan berhubung isu pemilikan saham, Ahli Parlimen pembangkang, Sivarasa Rasiah menggesa pihak polis pula menyiasat Tan Sri Azam Baki.

Sivarasa Rasiah yang merupakan Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, siasatan polis itu juga mesti merangkumi akaun bank, penyata bank dan “siapa yang memberi wang kepada remisier”.

“Polis dengan bantuan SC mesti memulakan siasatan kerana mesti ada seseorang yang memberikan wang untuk dagangan saham berkenaan,” katanya yang dipetik dari FMT.

Dia yang juga seorang peguam turut mempersoalkan sama ada dakwaan Azam sebelum ini, mengaitkan adiknya, Nasir dengan saham berkenaan adalah benar, memandangkan SC gagal membuktikan dakwaan itu.

“Adakah ini bermakna SC secara tersirat mengatakan wang itu bukan milik Nasir? Ini meletakkan tanggungjawab sekali lagi kepada Azam untuk menjelaskan dari mana datangnya wang itu,” persoalnya.

SC semalam berkata, ia tidak menemui kepastian muktamad bahawa Azam melanggar undang-undang berhubung pemilikan saham berkenaan dalam siasatan yang diadakan terhadap Azam.

Dalam kenyataan ringkas itu, SC menyatakan ia telah menjalankan siasatan dan berdasarkan bukti yang ada dan “SC tidak dapat memastikan secara konklusif berlaku kesalahan di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat).”

Seksyen 25(4) menetapkan semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik benefisial sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan. - KNC