Azam Baki Beli Saham Bukan Mewah, Orang Kebanyakan Mampu Milik


KUALA LUMPUR – Harga saham yang dikaitkan milikannya dengan Tan Sri Azam Baki mampu dimiliki oleh kebanyakan orang di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, saham yang dimiliki oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bukanlah saham yang mewah.

Menurutnya, saham bernilai sejuta unit itu dibeli oleh Azam pada tahun 2016 pada harga pada harga RM330,000 atau kira-kira 30 sen hingga 33 sen sesaham.

Malah katanya, saiz saham semasa yang dipegang oleh Azam itu katanya sudah terkumpul sejak bertahun-tahun.

"Berdasarkan harga awal, ia bukan saham yang mahal untuk dibeli. Dan saya percaya ia mampu dimiliki oleh kebanyakan kita.

"Bagi peniaga pasaran saham yang aktif, ini perkara biasa untuk meningkatkan pegangan saham secara beransur-ansur dari semasa ke semasa terutamanya apabila melihat potensinya," tambah beliau.

Wan Junaidi berkata, tiada undang-undang atau peraturan yang menghalang penjawat kerajaan daripada memperoleh saham dalam syarikat senaraian awam.

Di bawah Akta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, kakitangan kerajaan hanya dilarang berdagang dalam pasaran niaga hadapan dalam dan luar negara.

Manakala mereka yang memiliki saham dalam syarikat senaraian awam dikehendaki mengisytiharkannya sebagai aset.

Dalam pada itu, mengenai tuntutan untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen, Wan Junaidi berkata, ia bukan perkara mudah dan perlu diteliti dengan terperinci.

Menurutnya, untuk memastikan SPRM berfungsi secara berkesan, ia perlu beroperasi secara bebas dan penubuhan SPRM di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) memastikan kebebasan suruhanjaya dan ini tidak boleh dikompromi dalam apa cara sekalipun.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan pemilikan saham membabitkan Azam, Wan Junaidi memberi jaminan bahawa siasatan terhadap Ketua Pesuruhanjaya SPRM itu akan dilakukan mengikut undang-undang.

Jelas beliau, kes ini sedang diteliti oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Polis Diraja Malaysia, selain pandangan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) juga akan diambil kira.

"Saya tahu ramai yang menuntut tindakan diambil terhadap Tan Sri Azam.

"Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan semua bahawa perkara ini masih dalam siasatan dan kita hanya boleh membuat keputusan berhubung perkara itu setelah selesai siasatan oleh SC dan PDRM.

"Sementara siasatan ini selesai, saya berharap semua orang akan bertenang kerana kami sedang berusaha sedaya- upaya untuk menyelesaikannya dengan cara yang terbaik," kata beliau yang dipetik dari MG. – Kedahnews.com