Bersama Ketua-Ketua Jabatan Membangunkan Daerah Pendang - Suraya



PENDANG - Membuka lebaran baru tahun ini, Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob meneruskan rutin tahunan beliau dengan mengadakan Mesyuarat bersama Ketua-Ketua Jabatan di Daerah Pendang.

Mengadakan perbincangan yang saban tahun diadakan bersama ketua-ketua jabatan dari seluruh daerah itu, beliau menyelaras pelbagai agenda, projek, aktiviti dan program yang dirancang bagi daerah Pendang bagi tahun ini agar matlamat membangunkan pembangunan Pendang dapat mencapai impak yang lebih berkesan.

Exco Kerajaan Negeri Kedah itu berkata, antara projek yang dirancang JKR Pendang serta dijangka siap pada tahun 2022 ini ialah jalan K133 Kota Sarang Semut ke Pekan Pendang, Jambatan Sg Pendang dan jalan K130, naik taraf jalan K151 jalan Pendang - Sg Tiang, jalan K544 masuk ke Hospital Pendang dan Hospital Pendang.

"Antara projek yang akan siap dalam tahun 2022 ialah (Julai 2022) Jalan K133 Kota Sarang Semut ke Pekan Pendang, (Julai 2022) Gantikan Jambatan Sg Pendang dan Jalan K130, (Ogos 2022) Naik Taraf Jalan K151 Jalan Pendang/ Sg Tiang, (Julai 2022) Jalan K544 Masuk Ke Hospital Pendang, dan Hospital Pendang." jelasnya yang dipetik dari laman Facebooknya.


Antara yang hadir ialah JKR, JPS, MADA, Jabatan Belia, KEDA, Perikanan, Felda, AADK, Veterinar, Tekun, PPK, Bomba, PPD, Giat Mara, YPP, Penghulu, JKM, NCER, TNB, E-Idaman, Parol dan Pejabat Daerah Pendang.

"Mesyuarat penyelarasan ini adalah satu inisiatif penting yang membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak projek dengan kos yang rendah namun dengan berimpak tinggi," jelas Adun Sg Tiang itu.

Suraya yang berlatar belakangkan profesion perundangan berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan negeri dan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah oleh beberapa Menteri Besar seperti Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan terkini, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Noor.

Menyifatkan Suraya sebagai "iron lady Kedah", Ketua UMNO Bahagian Pendang ini diberi kepercayaan Muhammad Sanusi mempengerusikan jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Tenaga, Pengairan dan Saliran. - Kedahnews.com