KUALA LUMPUR - Kecekapan anggota bomba dan penyelamat berhasil menghalang seorang pemuda yang dipercayai cuba terjun dari Sky Deck, Menara Kuala Lumpur di sini, petang semalam.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur yang menerima panggilan kecemasan pada jam 5.11 petang, menghantar jentera bersama 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Pudu untuk tugas menyelamat ke lokasi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Omar Che Ku, berkata bomba yang sampai ke lokasi pada jam 4.18 petang, mendapati mangsa yang berusia 21 tahun sedang berdiri di hujung bangunan Sky Deck dipercayai ingin melakukan terjunan.
"Selepas hampir 20 minit memujuk dan menenangkan mangsa, lelaki itu berjaya diselamatkan oleh anggota bomba yang bertindak pantas menangkap belakang mangsa ketika dia sedang leka," katanya dalam kenyataan, semalam.
Omar berkata, mangsa kemudian dibawa ke tempat selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - BH