Cadangan PN Bergabung Semula Dengan PH: "Kita Tak Mudah Nak Tolak" - Muhyiddin


ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) sedia untuk menerima pandangan pelbagai pihak mengenai konsep kerjasama politik membabitkan gabungan parti lain sama ada membabitkan PH atau BN dalam PRN kelak.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau bersikap terbuka kepada sebarang pandangan dan tidak mudah untuk menolak cadangan.

"Setakat ini belum ada apa-apa lagi. Saya tak tahu apa tujuan mereka. Biasa sikap kita terbuka dengan pandangan orang. Kita tak mudah nak tolak," katanya yang dipetik dari Berita Harian, semalam. 

Beliau mengulas mengenai cadangan akar umbi PPBM Johor yang menggesa supaya PN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi mengalahkan Barisan Nasional (BN) sebagaimana PRU ke-14 yang lalu.

"Itu hanya dakwaan mereka. Saya kata, kita belum ada mesyuarat apa-apa setakat ini. Pendirian kita hanya PN saja, kalau ada pihak tertentu katakan sesuatu, itu pendirian mereka. Kita setakat hari ini PN," tambahnya lagi.

PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Sabtu lalu berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.