ALOR SETAR - Sekiranya Barisan Nasional (BN) dapat dikalahkan Pakatan Harapan pada PRU ke-14 yang lalu, tiada sebab bagi pakatan pembangkang itu mengulangi kejayaan itu buat kali kedua pada PRU ke-15 akan datang.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, tiada siapa yang menjangka BN akan tewas pada PRU ke-14 yang lalu, namun PH telah membuktikan ia mampu dilakukan.
"Sekiranya kita boleh melakukannya pada kali pertama sebelum ini, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh melakukannya untuk kali kedua," katanya dalam ucapan ketika berlangsung konvensyen DAP Sarawak 2022 yang diadakan semalam.
DAP Sarawak mengadakan konvensyen semalam, selepas mengalami kekalahan teruk pada PRN baru-baru ini apabila hanya mampu memenangi dua kerusi Dun sahaja setelah bertanding di 26 buah kerusi.
Justeru itu katanya, konvensyen itu diadakan bagi memberi tumpuan mendapatkan semula kepercayaan rakyat selepas kekalahan memalukan itu.
Selain itu, beliau turut mendedahkan strategi partinya untuk menggalakkan lebih ramai golongan belia untuk berjawatan di peringkat jawatankuasa negeri.
“Berbeza dengan parti-parti lain yang mengumumkan bahawa mereka akan menubuhkan sayap belia sebagai badan subsidiari untuk mereka yang berumur antara 18-28 tahun,
"Kami akan menjemput lebih ramai dalam kumpulan umur ini untuk berada dalam jawatankuasa negeri, memperkasakan mereka untuk membuat keputusan di seluruh negeri,” katanya yang dipetik dari laporan Malaysiakini.
Pakatan Harapan sebelum ini sempat mentadbir negara selama 22 bulan sebelum tumbang akibat tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad (dari PPBM) meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7.
Menewaskan BN pada PRU ke-14, kemenangan PH selepas itu dikritik hebat rakyat Malaysia setelah gagal melaksanakan manifesto, khususnya membabitkan pemansuhan tol, hutang PTPTN dan pelbagai dasar yang dijanjikan sebelumnya.
PH dilabel sebagai kerajaan paling gagal dan sinonim digelar dengan "Pakatan Hancing" akibat dikatakan menipu rakyat dengan janji manis yang gagal dilunaskan setelah berkuasa.
Ramai rakyat Malaysia mengakui menyesal menjatuhkan BN dan termakan hasutan PH sebelum PRU 14, namun hanya menyedari dibohongi gabungan DAP, PPBM, PKR dan PAN itu selepas beberapa bulan PH menguasai kerajaan. - KNC