Darurat Tak Bantu Perangi Covid, Muhyiddin Dibidas


ALOR SETAR - Najib Razak membidas dakwaan bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang mempertahankan keputusannya bagi melawan Covid-19, dengan menyatakan pelaksanaan sekatan “separuh masak” menyaksikan peningkatan kes jangkitan ketika tempoh darurat.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri berkata, pelaksanaan darurat tidak banyak membantu mengurangkan kes Covid-19, dengan Malaysia merekodkan kadar kes dan kematian setiap hari antara paling tinggi di dunia.

Dalam wawancara bersama The National, akhbar harian berpangkalan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, beliau berkata, PKP menjadi keperluan bagi mengawal jumlah jangkitan berada pada tahap rendah, walaupun menyebabkan negara kehilangan RM2.6 bilion sehari.

Muhyiddin berkata, kerajaan pimpinannya perlu menyeimbangkan keperluan menjaga nyawa dan keselamatan ekonomi, dalam situasi tidak menentu.

Namun, dalam kenyataan di Facebook hari ini, Najib berkata, selain pelaksanaan perintah kawalan pergerakan terlalu lama, kes dan kematian Covid-19 yang direkodkan adalah tertinggi di ASEAN dan paling teruk di dunia dalam tempoh darurat.

Katanya, ketika darurat sebanyak 42,715 kes setiap sejuta penduduk direkodkan di Malaysia iaitu paling tinggi berbanding 13,590 kes bagi setiap sejuta penduduk di Indonesia, negara kedua terkesan teruk di Asia Tenggara ketika tempoh berkenaan.

Najib berkata, daripada 404 kes kematian direkodkan, jumlah bagi setiap satu juta penduduk itu hampir melonjak berganda kepada 789 kematian pada akhir September, selepas Muhyiddin berhenti menjadi Perdana Menteri.

“Malaysia adalah satu-satunya negara dalam dunia yang gantungkan Parlimen dengan alasan melawan Covid.

“Cuba sebut satu negara yang berbuat demikian. Negara kita dalam darurat dan Parlimen digantung hampir sepanjang tempoh dia (Muhyiddin) PM (Perdana Menteri) pada tahun 2021 lepas iaitu dari 1 Jan sehingga dia henti pada 20 Ogos 2021,” katanya.

Najib berkata, biarpun Muhyiddin mengaku berbelanja RM600 bilion, keadaan negara menjadi semakin parah sehingga membawa kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengeluarkan titah bersama agar kerajaan tamatkan Darurat dan menggunakan pendekatan baharu melawan Covid-19 dan menjaga ekonomi negara.

“Sebab itu, kebanyakan rakyat berpendapat bahawa darurat dan ‘lockdown’ PM8 (Muhyiddin) bukan untuk melawan Covid atau membantu rakyat tetapi bagi menghalang dia ditumbang agar kerajaan PN (Perikatan Nasional) masa itu boleh kekal berkuasa,” katanya. - FMT