Hikayat "Kahwin Hari Ni, Wajib Beranak Esok..!"


"Semai benih padi hari ni, esok mesti dah boleh tuai dah!".

"Kahwin hari ni, esok dah beranak dah!".

Apatah lagi ungkapan "Esok kami menang, harga minyak turun! Tol mansuh! Hutang PTPTN hapus!". 

Pernah dengar tak ungkapan-ungkapan tu?

Peralihan kuasa yang berlaku pada tampuk pentadbiran negara pada 9 Mei 2018 dulu menyaksikan Barisan Nasional (BN) tewas pertama kali dalam sejarah negara ini.

Akibat kekalahan itu, Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan sebagainya naik menguasai "takhta" Kerajaan Malaysia.

Selepas tewas, UMNO dan BN bagai terkedu bisu, diam seribu kata. Mungkin sedih, kecewa dan berbagai bercampur rasa, menatijahkan hiba. Ada yang murung tidak keluar rumah, ada pula yang bermuram durja berbulan lamanya.

PAS juga terkejut. Walaupun biasa kalah pilihanraya, mungkin parti itu cukup terasa kehilangan sebuah kerajaan Melayu Islam yang menjadi sahabat dan musuh politiknya sejak sekian lama. 

Agak lama kedua parti Melayu Islam terbesar itu membisu seribu bahasa. Lebih dua bulan, UMNO dan PAS bagai berkabung, bermuhasabah atas apa yang berlaku di negara ini. Tidak pula ketara dilihat dua parti itu menyanggah sebarang perlakuan PH pada ketika itu.

Mungkin kepimpinan UMNO, BN dan PAS sedar bahawa "kahwin hari ni, takkanlah boleh beranak esok!".

Sementelah itu, segelintir penyokong UMNO dan PAS mula tersedar tentang irama pentadbiran PH yang kontroversi, bertentangan dengan kepentingan Islam dan bangsa Melayu, songsang adab, budaya dan nilai norma rakyat yang majoritinya Melayu Muslim.

Mereka cuba "berbunyi", suarakan menerusi saluran yang ada.

Namun jawapan yang diterima itu mudah; "kahwin hari ni, takkanlah boleh beranak esok!".

Selepas 22 bulan, tiba-tiba Tun Dr. Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri. Kerajaan PH tumbang, hilang majoriti. Keadaan negara masih tidak menentu, manifesto "ke laut", Covid-19 pula datang menyerang...

UMNO dan PAS pada mula mahu Parlimen dibubar dan PRU 15 diadakan, namun disebabkan Covid-19 dan titah Yg DiPertuan Agong, kedua parti itu setuju Muhyiddin dinamakan Perdana Menteri.

Siapa sangka, tindakan Muhyiddin yang awal-awal membawa lari PPBM keluar awal dari PH yang dijangka "karam" pada PRU 15 itu membawa tuah padanya bila dinobat ke jawatan Perdana Menteri, kan?

Berdepan Covid-19 yang dipandang remeh PH, keadaan politik negara yang tidak stabil, mewarisi hutang yang meningkat beratus bilion ringgit dibuat PH sejak mengambil alih dari BN, pastinya memeningkan Muhyiddin. 

Namun Muhyiddin pun tidak lama. Meskipun berbelanja besar ratusan bilion wang negara atas alasan "Covid-19", pandemik itu makin mengganas dan ekonomi negara makin membimbangkan.

Apatah lagi beliau melaksanakan tempoh PKP yang lama, berbagai versi PKP dan SOP, rakyat makin bosan dan tertekan. "Poket rakyat makin bocor" dan akhirnya beliau terpaksa meletak jawatan bila beberapa Ahli Parlimen UMNO "mengamuk" menarik balik sokongan padanya.

Kemudian, Menteri Kanannya yang terkenal dengan gelaran Pak Long Mail pula diangkat menjadi Perdana Menteri. Naib Presiden UMNO bernama Ismail Sabri itu pula terbeban dengan segala masalah yang dibuat PH dan Muhyiddin.

Baru angkat sumpah pada Ogos 2021, Pak Long Mail terus diasak kiri dan kanan oleh beberapa pihak. Walaupun beliau menanda tangani MoU dengan PH untuk "gencatan senjata politik", beliau tetap "diserang" hari demi hari hingga kini.

Malah kedudukannya sebagai Naib Presiden UMNO dan bukan Presiden, menjadikan beliau terdedah dengan ancaman politik dalaman yang mungkin paranoid dengan jawatannya selaku Perdana Menteri.

Lima bulan mengetuai pentadbiran negara, apalah sangat yang boleh diharapkan? Perdana Menteri paling lama lebih 20 tahun mentadbir, paling luas pengalaman dan paling tua di dunia pun boleh tumbang, inikan pula baru lima bulan mentadbir, bukan?

Sudah tentu Ismail Sabri memerlukan tempoh yang lebih lama untuk membuktikan kebolehannya berdepan sepak terajang politik luaran dan dalaman, krisis-krisis negara yang menggila dan negara yang tiba-tiba berdepan bencana.

Namun, bagaikan budaya dan sikap ajaran PH, sesetengah netizen tetap mahu "kahwin hari ni, esok dah beranak"! 

Macam di Kedah jugalah, tukar saja Kerajaan, terus mahu masalah bekalan air selesai. Hari ini Menteri Besar dan Exco angkat sumpah, esoknya mesti air keluar laju dari pili air di rumah. Seolah-olah MB dan Exco tu ahli silap mata pula dibuatnya!

Sikap suka memaki hamun di media sosial tetap subur di hati mereka, bagai satu amalan "mulia" pula. Tiada rasa bersalah atau malu, mencarut dan caci nista bagaikan "makanan harian" bagi golongan tersebut.

Entahlah. Mungkin juga mereka yakin bahawa kubur mereka nanti luas, mungkar dan nakir itu tidak bertanya sebarang soalan, hisab Allah di akhirat kelak juga akan bentangkan mereka ke syurga. 

Jika diikutkan hati, ingin saja azan kuat-kuat di telinga mereka. Tapi.. ah! Diam dan sabar sajalah. Lemah sungguh iman di hati ini, kan?

- Pak Ya Kapak.