Hukum Salah Sebelum Diadili, Dosa Kebebasan Media Ala Barat - Abdul Hadi


ALOR SETAR - Tindakan media cenderung melaporkan berita salah laku individu sebelum diadili badan kehakiman, yang menyebabkan orang ramai menghukum individu berkenaan sebagai bersalah disifatkan sebagai berdosa besar.

Presiden PAS, Tan Sri Tn Guru Abdul Hadi Awang, dalam tulisannya yang terbarunya menyatakan pendekatan media itu berkonsepkan kebebasan media yang dianjurkan dunia Barat membawa slogan “Vox populi, vox Dei (the voice of the people is the voice of God)”.

"Pendekatan yang dilakukan itu berkonsepkan kebebasan media yang diamalkan oleh dunia Barat yang mendukung konsep demokrasi, bahawa suara rakyat adalah suara Tuhan.

"Slogan tersebut bertemakan konsep demokrasi purba yang telah diperbaharui semula sepertimana ungkapan berikut: “Vox populi, vox Dei (the voice of the people is the voice of God).”

"Islam menegaskan bahawa seseorang yang dituduh masih dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah. 

"Maka, peranan media yang mengheret masyarakat awam supaya menghukum seseorang itu bersalah sebelum disabitkan hukuman adalah sangat besar dosanya," tulisnya yang dipetik dari lidah rasmi PAS, Harakahdaily.

Ulama yang mengemudi PAS itu melontarkan persoalan sama ada wajar bagi media di negara ini mengikut konsep Barat yang menyesatkan dari sudut pandang Islam itu.

"Apakah semua ciptaan Barat boleh diikut secara semberono, sehingga membentuk persepsi yang mencelarukan dan mewujudkan naratif yang salah serta sesat lagi menyesatkan?" tulis beliau lagi.

Menurut beliau, meskipun Islam memuliakan manusia dengan akal dan ilmu, namun agama itu juga mewajibkan umatnya merujuk pada hidayah Allah atas kelemahan sebagai manusia.

"Islam memuliakan manusia dengan akal dan ilmunya, namun mewajibkan mereka berpandukan hidayah (petunjuk) Allah SWT kerana manusia itu banyak kelemahannya. 

"Hanya segelintir daripada kalangan mereka sahaja yang berilmu, sedangkan majoritinya pula tidak berilmu," jelasnya yang memetik firman Allah dari surah al-Ma’idah, ayat 48 hingga 50.

Jelas beliau, Islam mewajibkan maruah seseorang itu dihormati walaupun individu berkenaan didapati bersalah, apatah lagi individu yang didapati tidak bersalah.

Kerana itu, Abdul Hadi menyarankan kepada rakyat di negara ini untuk tidak mencontohi fahaman Barat yang sesat fikiran serta tidak berpandukan dosa dan pahala itu.

"Islam mewajibkan maruah manusia itu dihormati termasuklah mereka yang sudah nyata melakukan kesalahan kerana adalah berdosa sekiranya seseorang yang bersalah itu tidak dihormati. Lebih-lebih lagi terhadap mereka yang tidak bersalah, maka lagi besar dosanya.

"Namun, masyarakat Barat yang sekular tidak mempunyai sebarang perhitungan soal dosa dan pahala. Adakah kita mahu menjadi rosak di dunia atau dihumban ke neraka di akhirat sepertimana mereka yang sesat fikirannya?", nasihat beliau lagi.

Memetik sebuah hadis riwayat Imam Muslim dan surah Yasin, ayat 65, yang memaparkan firman Allah berhubung konsep dan proses keadilanNya pada akhirat kelak, beliau menegaskan malang bagi negara dan masyarakat yang mengamalkan kebebasan media ala Barat tersebut.

Justeru itu katanya, pendekatan media ala Barat tersebut bukan saja mengheret rakyat kepada melakukan perkara yang salah, malah mengganggu pemimpin dan penjawat awam yang benar-benar menunaikan amanah yang digalas. - Kedahnews.com

Berikut adalah tulisan penuh Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu: https://harakahdaily.net/index.php/2022/01/09/apabila-media-menjadi-hakim/