Guan Eng ketika meninjau keadaan banjir di P. Pinang pada November 2017 - Gambar Fail |
ALOR SETAR - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mendakwa bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri paling teruk dalam sejarah negara.
Dakwaan Guan Eng itu memetik pendekatan kerajaan semasa menangani banjir baru-baru ini dan isu Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang menjadi polemik sebagai faktor dakwaan berkenaan.
"Kegagalan pengurusan bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini yang menyebabkan lebih 50 kematian dan kerugian ekonomi dianggarkan RM20 bilion adalah satu noda hitam pada rekod pentadbiran Ismail yang hanya akan diburukkan lagi dengan kegagalannya untuk mengambil tindakan terhadap Azam.
"Kedua-dua kegagalan ini akan membuktikan bahawa Ismail lebih teruk daripada Muhyiddin Yassin dan meninggalkan beliau dengan rekod sebagai perdana menteri paling teruk dalam sejarah Malaysia," kata Lim dalam satu kenyataan media yang dipetik dari Malaysiakini, semalam.
Gelombang pertama banjir pada pertengahan Disember dikatakan berpunca daripada perubahan iklim tropika yang mencetuskan banjir kilat di Lembah Klang dan beberapa negeri lain, manakala gelombang kedua banjir menyusul tidak lama selepas itu dicetuskan oleh hujan monsun.
Bagaimana pun, Guan Eng tidak menyebut suasana banjir terburuk di Pulau Pinang pada November 2017 ketika beliau menjawat jawatan Ketua Menteri, sehingga terpaksa merayu bantuan dari Kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu.
Guan Eng yang menerima bantuan besar-besaran dari Kerajaan BN ketika itu turut meluahkan rasa lega dan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Sementara itu, Tan Sri Azam mendapat kecaman beberapa pihak yang mendakwa beliau memiliki berjuta-juta saham dan waran dalam dua syarikat senaraian awam semasa memegang jawatan Pengarah Siasatan SPRM.
Kenyataan Guan Eng itu turut mengkritik Ismail Sabri yang disifatkannya tidak bertindak terhadap Azam.
Bagaimanapun, difaham pada masa kenyataan Guan Eng itu dikeluarkan, Perdana Menteri sudah pun mengulas kes Azam dan meminta pihak berkuasa diberi ruang untuk menyiasat kes berkenaan, serta menyeru pihak lain tidak cepat membuat kesimpulan sendiri.
Selain salah urus banjir dan skandal Azam, Guan Eng dalam "serangan"nya terhadap Ismail Sabri berkata, faktor lain yang menjejaskan reputasi Perdana Menteri ialah keadaan wabak Covid-19 di Malaysia dan prestasi ekonomi yang lemah.
"Di bawah pengawasan Ismail sebagai Perdana Menteri, ekonomi dan pandemik Covid-19 tidak bertambah baik dengan 31,644 kematian dan 2,769,533 jangkitan setakat 7 Januari 2022.
"Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi terburuk di Asean dengan penguncupan negatif 4.5 peratus bagi suku tahun ketiga 2021 berikutan kegagalan 'sekatan penuh' (total lockdown) yang bersiri," katanya.
Walau bagaimanapun, Guan Eng tidak menyebut sebarang kenyataan mengenai kes "terowong"nya dan jumlah hutang negara yang bertambah ratusan bilion ketika Pakatan Harapan mentadbir negara selama 22 bulan yang diwarisi Ismail sabri. - Kedahnews.com