JOHOR BAHRU - Pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor diharap tidak akan meletakkan katak politik sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Pemuda UMNO Kota Tinggi, Johan Azam Mohd Yasin, berkata calon katak politik tidak mempunyai pendirian dalam perjuangan, sekali gus tidak layak mendapat tempat lagi dalam parti keramat itu.
"Pemimpin yang layak disokong adalah mereka yang setia terhadap parti dalam apa jua keadaan sekalipun.
"Bukannya mereka yang berpaling daripada medan perjuangan dan sanggup menggadaikan maruah demi kuasa dan harta.
"Pemuda UMNO Kota Tinggi berharap kepemimpinan UMNO Bahagian Kota Tinggi, peringkat negeri mahupun pusat meneliti perkara ini dan membuat keputusan yang tepat dalam meletakkan calon yang selayaknya bagi mempertahankan kerusi tradisi BN," katanya dalam kenyataan semalam.
Ketua Bahagian PPBM Tebrau, Mazlan Bujang, hari ini dilaporkan meletak jawatan ketua bahagian, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi BERSATU Johor, dilaporkan berkata, beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyokong kerajaan BN.
Desas-desus semakin hangat menyatakan dua lagi ADUN PPBM dijangka mengikuti jejak langkah Mazlan.
Sementara itu, Johan Azam dilaporkan berkata, Pemuda UMNO Kota Tinggi juga tidak akan sesekali menyokong mana-mana katak politik jika ia dicalonkan parti di daerah itu. - BH