Kabinet Putuskan Tiada Kenaikan Tarif Elektrik - PM


ALOR SETAR - Kabinet Kerajaan semalam mengumumkan keputusan untuk tidak menaikkan tarif elektrik bagi pengguna domestik, sekali gus menafikan kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan ura-ura kenaikan sumber itu baru-baru ini.

Perkembangan itu hadir kurang dari 48 jam selepas Takiyuddin mengumumkan bahawa tarif baru untuk tempoh 2022 - 2024 yang mungkin akan dilaksanakan pada 1 Feb ini.

Keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat kabinet, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam ciapan Twitternya.

"Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik lebih 9 juta pengguna domestik.

"Sehubungan dengan itu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan subsidi sebanyak lebih RM700 juta agar pengguna-pengguna domestik tidak terkesan,” katanya.

Takiyuddin kelmarin berkata keputusan mengenai tarif itu sudah dimuktamadkan pada Rabu selepas ia dibincangkan sebanyak enam kali dalam mesyuarat kabinet.

Pun begitu Takiyuddin memberi jaminan kenaikan tersebut tidak akan membebankan orang ramai.

Dia juga berkata kerajaan mengambil kira keadaan semasa negara yang semakin pulih daripada krisis ekonomi berikutan pandemik Covid-19 semasa menentukan tarif elektrik baru. - KNC