Kerjasama PAS, UMNO dalam PRN Johor Masih Terbuka - PAS Johor


JOHOR BAHRU - PAS Johor menghormati hasrat Barisan Nasional (BN) negeri itu yang mahu bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata, bagaimanapun ruang untuk menjalin kerjasama dengan UMNO masih terbuka dalam PRN tersebut.

"(Menteri Besar Johor) Datuk Hasni Mohammad selaku pimpinan tertinggi UMNO negeri boleh membuat kenyataan itu, tetapi keputusan muktamad hanya boleh diputuskan pimpinan tertinggi PAS dan juga UMNO.

"Ini kerana BN dan UMNO Johor juga terikat dengan keputusan peringkat pusat sama seperti Pas Johor, jadi soal kerjasama dalam PRN akan datang kita serahkan kepada pusat tentukan.

"Tetapi apa yang saya tahu, ketika ini masih ada ruang untuk kami menjalin kerjasama dalam PRN sekali gus menubuhkan kerajaan negeri yang diyakini akan dapat memberi manfaat kepada rakyat dan pembangunan negeri Johor," katanya yang dipetik dari Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat PAS Johor, Bandar Baru Uda di sini pada Isnin yang turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Karim Deraman.

PAS pada PRN Melaka yang lalu menolak untuk bekerjasama dengan UMNO-BN biarpun parti itu ditawarkan beberapa kerusi boleh menang dan bertanding atas bendera tradisi PAS.

Sebaliknya, PAS membuat keputusan bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN) bersama PPBM, sekali gus parti itu tewas di semua kerusi yang ditandingi di PRN Melaka tersebut. 

Pada Ahad lalu, Hasni memaklumkan BN Johor berhasrat bertanding secara solo setelah menyedari kecenderungan PAS yang lebih menghargai PN berbanding MN atau BN. - Kedahnews.com