Khairuddin Akan Diberi Tugas Lain, Kata Timbalan Presiden PAS


ALOR SETAR - Pengguguran Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat tiada kaitan dengan soal Muafakat Nasional (MN).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, hubungan partinya bersama UMNO dan parti-parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) masih berjalan baik.

"Saya mempengerusikan MN bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, jadi isu ini tiada kena mengena dengan MN.

"Walaupun mesyuarat secara rasmi ditangguhkan tapi realitinya hubungan itu masih ada," katanya lagi selepas lawatan kerja projek Wakaf Air di sini pada Ahad, memetik laporan Sinar Harian.

Timbalan Presiden PAS itu yang juga merupakan Menteri Alam Sekitar dan Air memberitahu, penyokong PAS di peringkat akar umbi perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Jelasnya, Mohd Khairuddin bukan calon yang menang dalam pemilihan PAS dan dicalonkan untuk mengisi kekosongan jawatankuasa tambahan yang dilantik.

"Dalam mesyuarat kedua mendapati kita ada beberapa nama lain, namanya digugurkan dan ia hanya hal dalaman parti," jelasnya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mengakui prestasi yang cemerlang Mohd Khairuddin ketika menjawat portfolio Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi tetapi disiplin menjadi kepentingan parti.

"Beliau (Mohd Khairuddin) akan diberi tugas lain yang sesuai dalam parti selain masih dalam portfolio ekonomi," katanya. - KNC