Lelaki Berpakaian Seperti Wanita Sembunyikan Long Tiger Dihukum Penjara 5 Bulan


ALOR SETAR - Mahkamah Majistret Sungai Petani menjatuhkan hukuman penjara lima bulan ke atas seorang lelaki yang berpakaian seperti wanita selepas mengaku bersalah atas tuduhan melindungi lelaki Rohingya dikenali sebagai “Long Tiger” di rumahnya, bulan lepas.

Tertuduh, Rusli Mat, 47, yang bekerja sendiri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Rusli didakwa melindungi Long Tiger atau nama penuhnya Abdul Hamim Ab Hamid, 33, di sebuah rumah bernombor 854A Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil, pada 3.15 petang, 28 Dis tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan kerana melindungi pesalah yang lari daripada jagaan atau yang diperintah supaya ditangkap dan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat dan Zulfadzly Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ruzanna Abdul Rahim, menurut laporan Berita Harian.

Terdahulu, Ruzanna memohon mahkamah meringankan hukuman kerana ia adalah kesalahan pertama tertuduh, selain tidak mempunyai rekod jenayah.

Ainna kemudian menjatuhkan hukuman lima bulan penjara terhadap tertuduh.

Pada 28 Dis lalu, Long Tiger yang dilaporkan melarikan diri dari lokap Mahkamah Tangkak, di Johor, diberkas bersama seorang lelaki berperwatakan perempuan di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah.

Dalam serbuan pada 3 petang itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki berperwatakan perempuan dipercayai menyembunyikan Long Tiger yang ketika itu menjadi buruan polis selama hampir dua minggu. - Kedahnews.com