Mike Gugup, Gementar Menteri Minta Baca Surah An-Naba'


PUTRAJAYA - Diminta menteri untuk membaca surah dan beberapa ayat pilihan secara hafazan, menjadi kenangan bermakna bagi seorang pelajar kurang upaya cacat penglihatan.

Pelajar semester akhir Program Diploma Tahfiz al-Quran danal-Qiraat Darul Quran (DQ) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Kuala Kubu Bharu, Tan Mike Foong, 25, mengakui gementar diminta berbuat demikian oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, semalam.

"Menteri meminta saya membaca secara hafazan surah An-Naba dan beberapa ayat pilihan dalam pertemuan kami hari ini.

"Saya memang gugup dan gementar sebab ini kali pertama kami bertemu, tapi Alhamdulillah, saya dapat tunaikan apa yang diminta," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pertemuan secara santai di DQ itu Mike yang sudah menghafal 30 juzuk al-Quran, ditemani ibunya, Ang Bee Cheng, 50.

"Menteri cadangkan saya menyambung pelajaran di peringkat ijazah di DQ dan mengingatkan saya supaya terus istiqamah membaca al-Quran.

"Beliau memberi sokongan dan kata-kata semangat, malah mahu saya meneruskan inisiatif mengadakan kelas qiraat dan membaca al-Quran secara dalam talian yang diadakan sekarang.

"Insya-Allah, itu juga yang akan saya lakukan dan terima kasih saya ucapkan atas sumbangan yang diberi," katanya.

Mike memeluk Islam pada 2015 dan mengikuti Program Sijil Asas Tahfiz di DQ bermula 2019.

Beliau menghafaz 10 juzuk al-Quran dalam tempoh setahun, selain menulis 30 juzuk al-Quran secara tulisan Braille sebagaimana ditetapkan dalam proforma Program Diploma DQ. - BH