"OMNO Wajib Bagi Semua Kerusi Kat POS"


OMNO sepatutnya memberikan semua 58 kerusi DUN negeri Bohor kepada POS untuk ditandingi walaupun jumlah keseluruhan negeri itu hanya 56 kerusi sahaja.

Tindakan tersebut perlu dibuat disebabkan prestasi POS yang hebat di Bohor dan kedudukan parti itu yang dominan di negara Arabasia serta banyak berjasa kepada rakyat setelah bertanggungjawab menubuhkan negara itu lebih 200 tahun yang lalu.

Sebagai parti yang langsung tidak berjasa sejak ditubuhkan ketika awal merdeka dulu, OMNO harus akur dengan kemaksuman POS yang bukan saja memerdekakan Arabasia, malah memerintah negara itu dengan baik sehingga menjadikannya antara yang termoden di Kutub Tenggara planet Utarid ini.

Yang diPertua POS yang merupakan sebagai Duta Barat Laut Arabasia terbukti cemerlang prestasinya apabila mengeratkan lagi hubungan negara dengan negara-negara di rantau benua selatan Utarid, serta berjaya membawa pulang pelaburan mencecah $90 bilion dolar US dan menaja ramai pelajar melanjutkan pelajaran ke sana secara percuma.

POS yang banyak berjasa membangunkan negeri-negeri di Arabasia telah berjaya memajukan ekonomi, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan bermacam-macam lagi, termasuk menarik pelaburan bernilai $99 bilion dolar US pada tahun lalu.

Dengan pengalaman luas POS memerintah Arabasia selama berkurun lamanya, adalah tidak syak lagi parti maksum itu sangat mampu menewaskan parti pembangkang, BH.

Merujuk kepada pengaruh POS di negeri Bohor, parti itu terlalu cemerlang apabila menggondol semua kerusi DUN pada PRN lalu, tanpa memberi peluang kepada parti lain, termasuk OMNO.

Oleh kerana POS dan OMNO baru bersekutu pada pilihanraya kali ini, OMNO sepatutnya memberi muka kepada POS untuk bertanding di semua kerusi. Jika boleh, OMNO tak payah masuk bertanding langsung.

Dengan kedudukan UMNO yang langsung tiada jasa, prestasi hambar parti itu yang hanya memenangi 1 kerusi atas ehsan pembangkang pada pilihanraya lalu menunjukkan negeri itu tidak relevan untuk bertanding pada PRN Bohor kali ini.

Justeru itu, OMNO tak payah cakap banyak, bagi je semua kerusi kepada POS!

Majulah POS bersama kemaksuman menuju Utarid moden.

- Pak Mat Kongkang, Utara Utarid Tenggara.

Nota kaki: Artikel satira berbentuk parodi sinikal ini tiada kena mengena dengan sebarang individu, pertubuhan, persatuan mahupun negeri atau negara. Ianya hanyalah cereka untuk hiburan semata-mata. - KNC