Gambar hiasan |
JEMPOL - Tindakan seorang lelaki belajar membuat senapang angin dari YouTube membawa padah apabila dia ditahan polis dalam Op Tapis Khas yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Jempol.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata suspek berusia 30 tahun ditahan di rumahnya di FELDA Serting Hilir Enam, pada jam 11.40 malam, Sabtu lalu.
Katanya, suspek mendakwa menggunakan senapang angin itu untuk memburu ayam hutan sejak enam bulan lalu dan belajar membuatnya dari YouTube.
"Hasil siasatan mendapati suspek menggunakan barangan terpakai seperti batang besi, pam racun, kayu dan pam tayar bagi membuat senapang angin berkenaan, selain menggunakan bebola besi sebagai peluru.
"Sebanyak 27 biji bebola besi turut dirampas dan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah," katanya pada sidang media di IPD Jempol, semalam.
Chang Hook berkata, suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1950.
Sementara itu beliau berkata, dalam operasi sama, polis menahan dua lelaki berusia 43 tahun dipercayai membuat senapang patah sendiri.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan di pondok wakaf Tanah Perkuburan Islam FELDA Palong 9,10 dan 11, kira-kira jam 3 pagi, Jumaat.
"Ketika soal siasat, kedua-dua suspek tidak mengaku senapang patah berkenaan adalah milik mereka, sebaliknya mendakwa ia milik seorang lelaki dikenali Lebai Palong yang melarikan diri ketika serbuan dilakukan pihak polis," katanya.
Chang Hook berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1950, Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (3) dan Seksyen 15 (1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952. - BH