Padah Sunting Jata Negeri Pahang, Polis Panggil Fahmi Reza


KUALA LUMPUR - Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza, dipanggil ke Bukit Aman, hari ini, bagi membantu siasatan berhubung suntingan imej seakan jata Negeri Pahang, dengan perkataan 'House of Balak'.

Fahmi dilaporkan menyunting imej berkenaan dalam akaun laman Facebook miliknya yang dimuat naik pada 3 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, berkata Fahmi dipanggil ke pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

"Pada masa ini pihak USJT sedang menjalankan siasatan berhubung hantaran berkenaan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Jalil berkata, orang ramai dinasihatkan supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform tersebut untuk menyebarkan sebarang maklumat yang boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

Katanya, tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam. - BH