Pemimpin, Adun PPBM "Lompat" Sertai PBM


ALOR SETAR - Beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), termasuk dua Adun, bertindak keluar parti dan menyertai parti baharu, Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Kemasukan mereka didedahkan pada persidangan khas parti semalam yang mengadakan pemilihan pemegang jawatan baru dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, yang sebelum ini keluar PKR, mengambil tampuk kepimpinan parti sebagai Presiden baru parti itu.

Antara pemegang jawatan baru PBM yang terkenal termasuk Adun Tronoh, Paul Yong, dan Adun Buntong, A Sivasubramaniam, yang asalnya dari DAP tetapi melompat parti menyertai PPBM pada Mac tahun lalu.

Sivasubramaniam dilantik Naib Presiden Kanan II, manakala Yong memegang jawatan Bendahari Agung PBM dan kini dibicarakan di mahkamah atas dakwaan rogol.

Memetik laporan Malaysiakini, Adun Malim, Nawar Leong Cheok Keng yang dipecat daripada DAP pada Januari tahun lalu dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi PBM.

Sementara itu, bekas pemimpin PKR, Zakaria Abdul Hamid, yang menyertai PPBM pada Disember 2020 dilantik sebagai Ketua Penerangan dan beliau difahamkan bersama kumpulan 10 Ahli Parlimen PKR sebelum ini.

Dua pemimpin utama kumpulan yang digelar G10 itu kemudiannya menyertai PPBM, diketuai oleh Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Difahamkan, G10 pada mulanya merancang untuk menubuhkan parti mereka sendiri, namun kemudiannya menyertai PPBM kerana kesuntukan masa menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijadualkan pada 2023.

Beberapa bekas pemimpin wanita PKR yang rapat dengan Zuraida termasuk Adun Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha, dan Adun Sementa, Daroyah Alwi turut dilantik sebagai pemegang jawatan PBM yang baru.

Bekas Adun PKR, Ong Chin Wen dan Lee Chin Cheh turut dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi, manakala bekas pemimpin Pemuda PKR, Na'im Brundage, dipilih sebagai Ketua Pemuda PBM.

Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong, yang keluar dari PKR pada Februari tahun lalu dilantik sebagai Naib Presiden Kanan I. - Kedahnews.com