Penggal Kepala Ibu: Polis Percaya Suspek Terbabit Masalah Dadah


KUALA SELANGOR - Polis tidak menolak kemungkinan lelaki yang bertindak kejam memenggal kepala ibu sendiri di Kampung Baru Pasir Penambang, dekat sini semalam, terbabit dalam masalah penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata siasatan awal penganggur berusia 28 tahun itu disyaki terbabit penyalahgunaan dadah sejak empat tahun lalu.

Katanya, selain positif dadah, semakan lanjut mendapati lelaki itu yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik turut memiliki satu rekod berkaitan kes ugutan pada 2014.

"Polis percaya dia terbabit masalah (dadah) ini antara tiga hingga empat tahun. Untuk rekod kes ugutan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan pula, ia membabitkan ugutan ke atas ibunya sendiri dan suspek telah menjalani hukuman," katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi kejadian, semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya sedang mengambil keterangan daripada ahli keluarga, termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Ramli berkata, kejadian memilukan itu disedari kakak kepada suspek berusia 30-an yang menemui ibu mereka di ruang tamu dan pada masa sama, suspek melarikan diri sebelum berjaya ditahan di kawasan semak kira-kira 50 meter di belakang rumah.

"Bagaimanapun, tiada alat atau bahan berkaitan dadah di dua lokasi (rumah dan semak)," katanya .

Terdahulu, media melaporkan mangsa berusia 56 tahun ditemui di ruang tamu dan terdapat kesan darah dalam rumah berkenaan sebelum polis yang ke lokasi kejadian, merampas parang disyaki digunakan untuk memenggal kepala wanita terbabit yang ditemui dalam tandas rumah itu. - BH Online