PRN Johor: Bilakah PAS Akan Belajar?


SEPERTI biasa, PAS menyatakan hasrat untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Pada PRU 2018, PAS meletakkan 40 orang calon di DUN Johor, namun 1 DUN saja dimenangi, manakala 5 calon PAS yang bertanding di peringkat Parlimen tewas ke semuanya.

Apakah strategi PAS bagi menghadapi PRN Johor kali ini. PAS mendedahkan UMNO hanya menawarkan 4 kerusi DUN "boleh menang", manakala PPBM pula menawarkan lebih 15 kerusi DUN yang belum tentu menang untuk PAS Johor kali ini. 

Rekod PAS

Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, PAS hanya mampu menang 1 kerusi DUN. Kemudian, pada PRU 2008, PAS menang 2 kerusi DUN dan PRU 2013 pula mendapat 4 kerusi DUN. 

Namun pada PRU 2018 yang lalu, PAS hanya mampu menang 1 kerusi DUN sahaja dari 40 kerusi yang ditandingi. Malah 45 orang calonnya ada yang hilang deposit dan saingan merebut kerusi Parlimen dan DUN Johor di saat UMNO-BN maksimum dihuru-harakan Pakatan Harapan (PH).

Ketika PRU 2018, PAS hanya mampu menang di DUN Bukit Pasir. Calonnya, Najib Lep menang dengan meraih sebanyak 9,835 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) yang menerima 7,952 undi. Najib menang dengan undi majoriti 1,883.

Tidakkah PAS menyedari bahawa satu-satunya kemenangan parti mereka di DUN yang berada dalam Parlimen Pagoh itu adalah kerana penyokong PH beralih memberi undi kepada PAS setelah calon mereka hilang kelayakan bertanding atas sebab teknikal?

Tidakkah PAS sedar bahawa partinya hanya mampu tewaskan UMNO-BN di Johor ketika itu disebabkan parti lawan itu "uzur teruk" dan mendapat bantuan undi dari penyokong PH? Tanpa PH ketika itu, mampukah PAS menang di DUN Bukit Pasir?

Berdasarkan rekod PAS di Johor ini, pastinya parti itu perlu hadam dengan hakikat bahawa PAS amat sukar memenangi hati rakyat Johor meskipun negeri itu kuat pegangan dan prinsip agama Islam di kalangan umatnya.

Namun, apakah PAS pernah melakukan "post-mortem" yang adil berdasarkan prestasi mereka di Johor?

Faktor Agama Islam

Di Johor, PAS perlu sedar bahawa Islam bukanlah milik PAS seorang sahaja. Di Johor, Islam adalah milik semua, tidak terhad kepada PAS sahaja.

Di Johor, Islam telah lama berkembang maju tanpa bayang-bayang politik melampau. Di bawah naungan Kesultanan Melayu Johor, Islam telah berkembang pesat di negeri itu, sesuai dengan adab susila dan budaya Melayu Johor.

Disokong penuh Kerajaan BN yang sebelum ini mentadbir negeri Johor, ramai aktivis dapat dilahirkan di pelbagai peringkat. Malah ramai juga aktivis UMNO di Johor yang berlatarbelakangkan sekolah agama dan menerima asas pendidikan Islam yang kukuh.

Di peringkat UMNO Bahagian di seluruh negeri Johor, ramai agamawan yang mendapat tempat mengisi kerusi-kerusi yang sesuai. Tidakkah PAS tahu bahawa ramai Ketua Pemuda UMNO dari Johor terdiri dari golongan yang bergelar ustaz oleh penduduk tempatan?

Di kalangan penjawat awam dan pentadbir negeri Johor pun ramai yang berlatarbelakangkan pendidikan Islam dan cenderung ke arah mengimarahkan agama Allah itu. Ceramah, kuliah dan program-program keagamaan banyak dianjurkan di Johor. 

Bukan hanya sekolah agama diperkasa, malah maahad-maahad tahfiz juga tumbuh subur bak cendawan di waktu pagi. Kerana itulah rakyat Johor rata-ratanya kukuh prinsip asas agama Islamnya.

Mungkin atas pendekatan Kerajaan BN Johor sebelum ini, PAS agak sukar menembusi pasaran di Johor, apatah lagi melebarkan pengaruhnya menggunakan platform agama. UMNO lebih dahulu memenangi hati rakyat Johor atas keagamaan. 

Tanyalah "Abah" PAS, beliau adalah antara Menteri Besar UMNO di Johor dulu!

Politik PAS Pilih PN atau MN

Ketika awal berpiagam bersama UMNO di dalam Muafakat Nasional dulu, kerjasama antara PAS dan UMNO sememangnya gah. Memenangi 7 dari pilihan raya kecil (PRK) pasca PRU 14, membuktikan gandingan dua parti itu memberikan sinar baharu kepada negara.

Namun tidak lama selepas itu, 26 September 2020, PAS mula "tunjuk belang sebenar" dan berharap dapat bertanding sekurang-kurangnya 5 kerusi DUN di PRN Sabah. 

Malangnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mengetuai PN ketika itu langsung tidak memberi muka pada PAS. Akhirnya, PAS langsung tidak bertanding di PRN Sabah.

Di Melaka pula, pada 20 November 2021, UMNO-BN difahamkan telah menawarkan empat hingga enam kerusi DUN Melaka untuk ditandingi PAS, termasuk 4 kerusi DUN yang dikatakan "boleh menang".

Bagaimana pun, PAS menolak untuk bersama UMNO-BN, sebaliknya lebih memilih untuk bersama PN yang diketuai PPBM. Lebih mengejutkan, PAS rela tidak bertanding menggunakan bendera "bulan purnama", dan pasrah bertanding atas bendera PN.

Menumpang nama "Abah" menentang UMNO-BN di Melaka, PAS tewas di semua 8 kerusi yang ditandinginya. Malah PPBM pun hanya menang 2 kerusi DUN sahaja dari 28 kerusi DUN secara keseluruhan. 

Di PRN Sarawak, mulanya PAS bercita-cita bertanding di 11 kerusi DUN, namun akhirnya PAS memutuskan bertanding di 1 Dun sahaja. Berbekalkan 3,000 undi pada pilihan raya lalu, PAS mengharapkan "sinar" di Beting Maro.

Namun PAS harus menerima hakikat pedih bila tewas lagi di Beting Maro. Mungkin PAS patut bermuhasabah sikapnya yang hanya turun sekali dua bila tiba musim pilihan raya berbanding Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sekian lama sudah menyediakan asas Islam di situ. 

Hasilnya, PAS berputih mata. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Sanggupkah PAS terima hakikat ini? Bilakah PAS akan belajar dari analisis pakar dan "post-mortem"?

Atau PAS masih lagi mahu menggunakan alasan "PAS bukan kalah, tapi belum menang. PAS dah biasa kalah selalu, menang sesekali. Kalah atau menang bukan keutamaan."

PAS pra-PRN Johor

Terkini, PRN Johor bakal diadakan tidak lama lagi. Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man seakan mengeluh memberitahu BN hanya tawarkan 4 kerusi DUN "boleh menang" pada PRN di negeri itu.

Katanya, PAS mahu bertanding di semua kerusi DUN yang gagal ditawan BN dalam pilihan PRU lalu, khususnya kerusi DUN yang melibatkan PAN.

Namun adakah PAS sedar bahawa 4 kerusi "boleh menang" yang ditawarkan UMNO-BN itu sudah cukup baik berbanding 15 kerusi belum tentu menang yang ditawarkan PPBM-PN?

Pada PRU 14 yang lalu, PAS bertanding di 40 buah kerusi DUN, namun hanya 1 sahaja yang dimenanginya. Menang pun sifatnya bagai "kemenangan percuma". 

Sebelum ini di PRN Melaka, PAS sekurang-kurangnya berpotensi memiliki 4 kerusi DUN Melaka. Namun kerana tunduk pada parti "Abah", PAS dapat 0 kerusi di DUN Melaka. 

BN pastinya berlapang dada kerana dijangka mampu bertanding solo di semua 56 DUN Johor. Namun atas semangat MN, UMNO-BN tetap menawarkan kerusi "boleh menang" untuk PAS.

Terpulanglah pada PAS untuk menerima tawaran BN, atau lebih memilih bersama PN sebagaimana PRN Melaka tempohari. Terserah kepada kebijaksanaan PAS.

Cuma kita akan tertanya-tanya, bilakah agaknya PAS akan "belajar"? - KNC