ALOR SETAR - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Gambir dalam PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata perkara itu terserah kepada pimpinan PPBM.
Dalam kenyataan itu, Muhyiddin berkata, dia mahu memberi tumpuan kepada pentadbiran di peringkat pusat dan pengurusan parti.
"Saya mungkin tidak akan bertanding, tetapi terserah kepada pimpinan di atas sebab mahu menumpukan sepenuh masa pada soal yang lebih utama iaitu di peringkat Parlimen atau pusat dan menguruskan parti serta menyampaikan mesej perjuangan kita (PN) dan sebagainya.
"Jadi saya hendak beri peluang kepada ramai lagi tokoh-tokoh di Johor terutama untuk kerusi itu dan saya serah kepada mereka nantilah siapa yang hendak mengisi, itu kita akan putuskan kemudian,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia.
Dia berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersatu Johor semalam.
PPBM sebelum ini berjaya mencuri 3 Adun UMNO untuk menguasai 11 kerusi DUN Johor ketika bersama Pakatan Harapan.
Aksi lompat parti itu menyebabkan UMNO-BN hanya menguasai 16 kerusi DUN daripada asalnya 19 kerusi DUN.
DUN Johor dibubarkan pada 22 Jan lalu bagi membuka jalan kepada pelaksanaan PRN.
Kerajaan negeri sebelum ini diterajui BN dengan 28 kerusi merangkumi 16 kerusi BN, 11 kerusi PPBM dan 1 kerusi PAS, manakala 27 kerusi lagi dikuasai PH.
Setelah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang juga merupakan Adun Kempas dan Ketua Bahagian PPBM Ayer Hitam meninggal dunia, kedudukan DUN Johor dilihat goyah ekoran jumlah bilangan pemegang kerusi DUN yang sama banyak, 27-27.
Kedudukan yang dilihat goyah itu mampu menggugat kestabilan politik Johor dan memaksa UMNO-BN memohon perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, untuk membubarkan DUN.
Mendapat perkenan Sultan Johor, DUN Johor rasmi dibubarkan bagi membuka ruang PRN diadakan sekali gus mengembalikan mandat kepada rakyat untuk menentukan kepimpinan Kerajaan Johor.
Cuba memenangi hati golongan muda berusia 18 hingga 21 yang pertama kali dibenarkan mengundi, Muhyiddin yang sebelum ini bersama PH memaklumkan partinya sedia mencalonkan calon-calon muda pada PRN Johor ini.
"Ya, memang kita hendak beri peluang, memang saya faham bahawa sekarang ini adalah masa anak-anak muda, tetapi gabungan muda, lama dan matang agak wajar, tidak ada satu parti akan letak semua orang muda dan ketepikan orang lama," katanya.
Namun bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan keputusan untuk menampilkan calon-calon muda itu belum muktamad.
"Tetapi itu belum muktamad, di peringkat awal, nanti bila senarai calon itu dikemukakan baik oleh Srikandi, Armada, anak muda dan parti-parti gabungan, saya rasa kita perlu beri perhatian kepada perkara itu, insya-Allah,” tambahnya. - KNC