PRN Johor: Negeri Presiden, PPBM Pahang Anggap Cabaran Luar Biasa


ALOR SETAR - PPBM Pahang menganggap pilihan raya di Johor yang akan diadakan tidak lama lagi sebagai sesuatu yang "luar biasa" dan sedang bersedia menggerakkan jentera bagi membantu parti berkenaan.

Pengerusi PPBM Pahang, Saifuddin Abdullah berkata hal itu kerana Johor merupakan negeri presiden parti berkenaan.

Justeru katanya PPBM mesti menunjukkan prestasi yang baik dengan bukan saja mempertahankan kerusi yang pernah dimenangi pada 2018 malah menambah bilangannya.

"Kami menjangkakan pilihan raya ini adalah pilihan raya luar biasa dan begitu penting berikutan pengerusi Bersatu Johor ialah presiden parti.

"Jadi kita kena tunjukkan prestasi yang baik dalam mempertahankan kerusi sedia ada dan menambah lagi kerusi dewan undangan negeri (DUN)," katanya selepas melawat pusat jagaan orang tua di bangunan Persatuan Tiong Hua, di Jalan Bukit Ubi, Kuantan, semalam.

Untuk rekod, presiden PPBM ialah Muhyiddin Yassin yang kini mewakili kawasan parlimen Pagoh serta kerusi DUN Gambir. Namun setakat ini dia dilaporkan tidak akan mempertahankan kerusi Gambir.

Perdana menteri kelapan Malaysia itu sebelum ini merupakan pemimpin kanan Umno dan pernah menjadi timbalan presiden parti berkenaan sebelum dia dipecat.

Muhyiddin bersama beberapa pemimpin lain - termasuk Dr Mahathir Mohamad - kemudian menubuhkan PPBM.

Saifuddin sendiri merupakan bekas pemimpin Umno namun terlebih dulu meninggalkan parti berkenaan untuk menyertai PKR. Dia kemudian melompat lagi meninggalkan parti itu sekali gus menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada akhir Feb 2020.

Menurut Saifuddin semua ahli PPBM Pahang ketika ini sudah bersedia pada bila-bila masa untuk turun padang di Johor bagi membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN).

"Buat masa ini kami hanya menunggu arahan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk turun ke kawasan-kawasan tumpuan yang sudah dikenal pasti.

“Sebaik sahaja menerima arahan MPT, Bersatu Pahang ​akan mengadakan bermesyuarat ​khas untuk mengatur gerak kerja di PRN Johor​," katanya yang turut menyatakan keyakinan untuk mencatat keputusan lebih baik kali ini. - Mkini