ALOR SETAR - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan bertanding 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan majoriti Melayu pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Bendahari Agung Pejuang, Datuk Dr Saharuddin Mohd Salleh berkata, setakat ini pihaknya belum memutuskan untuk bertanding secara solo atau berganding dengan Pakatan Harapan (PH).
"Pejuang cadang bergerak secara solo dalam PRN ini kerana percaya akan menang di kerusi yang kita tandingi. Perbincangan dengan PH dalam peringkat akhir dan Pejuang akan putuskan nanti selepas meneliti beberapa perkara.
"Kita yakin orang Melayu akan memilih Pejuang. Jika menang kita akan bentuk kerajaan sendiri walaupun dua pertiga majoriti menang atau 36 kerusi DUN negeri sudah boleh membentuk kerajaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
PRN Johor akan menyaksikan Pejuang bertanding dalam pilihan raya buat kali pertama selepas menolak untuk bertanding dalam PRN Melaka dan PRN Sarawak sebelum ini disebabkan pandemik COVID-19.
Pejuang adalah parti baharu yang ditubuhkan bekas pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad, dengan mengangkat anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Presiden setelah berpecah dari PPBM akibat krisis kepimpinan.
PPBM yang dikuasai Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengkhianati Mahathir dengan membawa keluar parti itu dari PH dan kemudian menubuhkan Perikatan Nasional (PN) setelah berjawatan Perdana Menteri yang disandang bekas pengerusi PPBM itu.
Bagaimanapun, akibat goyah dan gagal mengawal politik negara, Muhyiddin akhirnya terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menteri, meskipun cuba mengawal keadaan dengan mengadakan Darurat di seluruh negara.
Pejuang kemudiannya kehilangan beberapa pemimpin utamanya apabila Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik, menyertai PKR, manakala Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula menubuhkan parti serpihan, MUDA.
DUN Johor dibubarkan pada Sabtu selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh PRN diadakan dalam tempoh 60 hari. - Kedahnews.com