PRN Johor: Pemimpin PPBM Johor Mahu PN Kembali Kerjasama Dengan PH Untuk Kalahkan BN


ALOR SETAR - Matlamat Parti Pribumi Bersatu Johor untuk membenam Pakatan Harapan (PH) kini telah bertukar kepada mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor Bahru mencadangkan ditubuhkan "Muafakat Rakyat Johor" (MRJ) melibatkan Perikatan Nasional (PN) dan semua parti pembangkang yang bertanding dalam PRN Johor.

Timbalan Ketua PPBM Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli mencadangkan MRJ itu terdiri daripada PPBM, Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

"Selain penggunaan nama MRJ, kita juga boleh namakan gabungan Perikatan Nasional (PN), PH dan parti pembangkang ini sebagai Gabungan Rakyat Johor atau GRJ seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang digunakan dalam PRN Sabah.

"Formula gabungan PH sebelum ini berjaya pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14). Kemuafakatan dalam parti dan rakan seperjuangan adalah kunci kejayaan untuk menang dalam PRN Johor.

"Parti yang menentang Barisan Nasional (BN) mesti berada di bawah satu panji. Jika tidak, sia-sia sahaja kerana kemenangan akan berpihak kepada UMNO," katanya dalam kenyataan yang dipetik dari Sinar Harian pada semalam.

Tambah Razrul Anwar, formula meletakkan PN, PH dan parti pembangkang di bawah satu panji adalah relevan dan dilihat formula terbaik untuk mengalahkan BN sebagaimana PRU ke 14 lalu.

"Buktikan kepada rakyat Johor tindakan muafakat kita. Tidak mustahil muafakat ini dapat menumbangkan BN sekali lagi," katanya.

Razrul merupakan bekas tunangan kepada pelakon wanita, Intan Najuwa, namun hubungan antara mereka terputus setelah retak sejak beberapa lama tahun lalu. 

Intan Najuwa enggan lagi dikaitkan dengan bekas tunangnya, Razrul Anwar Rusli selepas mengesahkan mereka sudah lama berpisah. - KNC