PRN Johor: PH Cetus Momentum Baru, Guna Pendekatan Berbeza


ALOR SETAR - Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, PH telah mengambil iktibar daripada prestasinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak, baru-baru ini dan akan berusaha mencetuskan momentum baharu di Johor.

Katanya, keadaan di Johor tidak sama dengan dua negeri berkenaan dan pihaknya ada pendekatan berbeza.

"Apapun PH telah mengambil iktibar dengan apa yg berlaku di Melaka dan Sarawak dan insya-Allah memulakan dengan langkah kanan di Johor. Itu yang kita akan ikhtiarkan.

"Keadaan Johor berbeza dan yang mencetuskan (PRN) pun berbeza. Kita lihat di Melaka akibat usaha untuk menukar kerajaan negeri tetapi di Johor, kerajaan sendiri yang membubarkannya," katanya yang dipetik dari Berita Harian semalam.

PH sebelum ini menerima pukulan hebat di PRN Melaka apabila hanya mampu bertahan dengan 5 buah kerusi Dun yang ditandingi, berbanding 15 kerusi pada PRU 14.

Setelah itu, PH sekali lagi menerima pukulan hebat di PRN Sarawak apabila hanya mampu menang 2 kerusi menerusi DAP, manakala PKR dan PAN tewas di semua kerusi yang ditandingi. - Kedahnews.com