PRN Johor: PN Akan Runding Muktamad Kerusi Dengan Komponen, Termasuk PAS


ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan rundingan dengan parti-parti anggota PN bagi memuktamadkan kerusi yang akan ditandingi selain akan memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu telah bersedia menghadapi PRN walaupun pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibuat tanpa perundingan dengan PN Johor.

"Sekiranya diberikan mandat oleh rakyat negeri Johor dalam pilihan raya ini, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti, prihatin rakyat dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Johor.

"Saya menyeru semua pengundi yang layak untuk mengundi dalam PRN Johor kali ini supaya keluar mengundi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

PAS merupakan anggota komponen PN, namun menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan UMNO pada PRN Johor setelah tewas di semua kerusi yang ditandinginya di PRN Melaka di bawah panji-panji PN.

"Memancing" pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun yang dibenarkan mengundi buat pertama kali, Muhyiddin mengalu-alukan golongan tersebut untuk mengundi mengikut kebijaksaan mereka.

"Saya juga mengalu-alukan semua pengundi baharu termasuk pengundi berumur 18 tahun ke atas yang akan mengamalkan hak demokrasi mereka sebagai pengundi buat pertama kali dalam PRN Johor. 

"Tunaikanlah hak dan tanggungjawab anda secara bijaksana," katanya.

Muhyiddin adalah di antara pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) yang sama-sama dikecam majoriti rakyat ketika menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan gagal melaksanakan janji-janji mereka setelah berkuasa.

Hanya bertahan 22 bulan, Muhyiddin mengambil langkah awal, keluar dari PH setelah menyedari gabungan parti itu berkemungkinan "karam" pada PRU ke-15 kelak.

Muhyiddin kemudiannya menubuhkan PN dan mempengerusikan gabungan politik itu meskipun PAS dilihat lebih senior, berpengaruh dan memiliki jumlah bilangan ahli yang lebih besar berbanding PPBM.

Bagaimanapun, Muhyiddin tumbang apabila kepimpinannya yang lemah gagal mengawal politik negara dan mengakibatkan beliau terpaksa meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. - Kedahnews.com