PRN Johor: PN Bertanding Semua Kerusi - Muhyiddin


SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, itu adalah pendirian PN setakat ini selepas mengadakan perbincangan dengan rakan dalam parti gabungan termasuk PAS serta GERAKAN.

"Kalau setakat hari ini begitulah (tanding semua kerusi DUN Johor). Kita belum berjumpa PN secara semua tapi pandangan pimpinan parti gabungan begitulah," katanya ketika ditemui media sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM memetik Berita Harian, malam tadi.

Beliau berkata, PAS juga setakat ini istiqomah untuk kekal bersama PN dalam mendepani PRN Johor nanti.

PN sebelum ini menandingi semua 28 DUN pada PRN Melaka yang lalu.

Namun gabungan hanya berjaya memenangi 2 kerusi DUN yang ditandingi PPBM, namun tewas di semua baki 26 DUN di PRN Melaka.

PAS Johor sebelum ini menyuarakan hasrat mereka untuk bekerjasama dengan UMNO-BN atas semangat MN, namun sukar akibat PN menawarkan lebih banyak kerusi untuk di tandingi PAS di PRN Johor. 

PN dipengerusi PPBM meskipun PAS lebih senior dan memiliki kekuatan akar umbi yang jauh lebih kuat berbanding parti serpihan PH itu. - KNC