PRN Johor: Syed Saddiq Mungkin Bertanding


ALOR SETAR - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mungkin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi MUDA Johor, Mohd Azrol Ab Rahani, berkata Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar mempunyai kelebihan kerana berasal dari negeri itu.

"Sekiranya MUDA bertanding, kita akan pastikan calon daripada parti ini adalah anak tempatan," katanya di Pejabat Urusan Parti MUDA Johor di Kempas yang dipetik dari Bernama, semalam.

Beliau berkata, MUDA Johor yang kini mempunyai keahlian lebih 12,000 orang sedang mempersiapkan jentera dan manifesto parti dalam menghadapi PRN itu selain bakal menggerakkan jentera di semua kawasan pilihan raya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Syed Saddiq adalah calon Pakatan Harapan (PH) daripada BERSATU yang bertanding atas tiket PKR, menewaskan penyandang Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan calon PAS, Abdul Aziz Talib dengan majoriti 6,953 undi.

Membawa janji membawakan tayangan secara "live" liga bola sepak Inggeris ketika berkempen PRU 14, Syed Saddiq berjaya menang di Johor.

Walau bagaimanapun, Syed Saddiq gagal melunaskan janjinya membawa liputan langsung EPL itu di kaca televisyen awam sebagaimana yang dijanjikan walaupun dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan ketika PH menguasai negara selama 22 bulan. 

Syed Saddiq juga pada Julai lalu dihadapkan ke Mahkamah atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi. - KNC